Latheefa Letak Jawatan Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM

Reading Time: < 1 minute

Tidak sampai setahun menerajui SPRM, Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri pada 2 Mac lalu.

Walaupun tidak lama memegang jawatan itu, ketegasan wanita itu jelas apabila pelbagai tindakan diambil, dalam usaha memastikan Malaysia menjadi negara yang bersih daripada rasuah.

Latheefa dalam kenyataan akhbarnya hari ini berkata, beliau menyerahkan surat menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 Mac dan semalam beliau mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin, untuk menjelaskan keputusan beliau untuk meletak jawatan.

“Ini satu keputusan saya sendiri untuk berbuat demikian … niat saya adalah untuk kembali sebagai peguam bela hak asasi manusia,” katanya dalam kenyataan itu.

Latheefa yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang undang-undang itu, sebelum ini dilantik ke jawatan tertinggi SPRM oleh kerajaan Pakatan Harapan, untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuatkuasa 1 Jun tahun lepas, dengan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Sejak dilantik, pelbagai cabaran dihadapi wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti London itu, termasuk desakan untuk meletak jawatan daripada pelbagai pihak.

Bagaimanapun segala kritikan dan desakan itu tidak menjejaskan Latheefa, dalam melaksanakan tugas dengan tegas dan berani.

Kelantangan Latheefa ketika memacu suruhanjaya itu pasti dikenang, terutama ketika beliau dengan beraninya mendedahkan klip rakaman video berkaitan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan negara, akibat perbuatan rasuah sejak 2017.

  • Bernama