Lori terbakar, trafik bergerak perlahan dari Terowong Menora ke Ipoh

  •  
  •  
  •  
Reading Time: < 1 minute
IPOH, 3 Sept — Trafik bergerak perlahan dari Terowong Menora menuju ke Ipoh akibat sebuah lori yang membawa muatan kain terbakar di Km 266.4 Lebuhraya Utara Selatan di sini lewat petang tadi.

Menurut laman twitter PLUS Malaysia Berhad, aliran trafik bergerak perlahan sejauh 4.5 kilometer dan lorong kiri masih ditutup bagi kerja pemadaman api oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) setakat pukul 9.57 malam ini.

Jurucakap JBPM Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 7.45 petang dan segera mengerahkan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya ke lokasi kejadian.

“Kami turut mengerahkan pasukan bantuan ‘water tanker’ BBP Ipoh dan Kuala Kangsar bagi memadamkan api pada lori yang terbakar anggaran 80 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Bagaimanapun beliau berkata tiada mangsa dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.

“Kebakaran merebak ke kawasan hutan berhampiran dan kerja-kerja pemadaman segera dilancarkan dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada kira-kira pukul 11 malam,” katanya.

— BERNAMA