Mahasiswa UniKL RCMP Jadi Keluarga Angkat Selami Kehidupan Masyarakat Petani

Reading Time: 2 minutes

SIK | Seramai 23 orang mahasiswa Kelab Kembara Kita, Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) telah mengadakan Program Anak Angkat di Kampung Charok Kit, Sik Kedah dari 2 hingga 4 Ogos 2019.

Program bertemakan “Kembara Seluas Padi” ini mendedahkan pelajar situasi dan cara hidup sebenar masyarakat di luar bandar yang kebanyakannya bergantung kepada hasil pertanian.

Para mahasiswa didedahkan rutin harian mereka seperti menoreh getah, bersawah, mencari hasil hutan, dan berniaga secara kecil-kecilan.

Pensyarah Penasihat KKK, Syahidatul Akmar Safian berkata, program julung-julung kali diadakan ini diharap berjaya membuka minda mahasiswa untuk mengenali dan merasai kehidupan sebenar masyarakat di kampung.

“Para mahasiswa berpeluang tinggal bersama keluarga angkat masing-masing. Dengan cara ini mereka akan mengetahui rutin harian keluarga angkat mereka. Misalnya, corak hubungan kekeluargaan, sumber ekonomi keluarga dan makanan kegemaran sesebuah keluarga.

“Saya sangat berharap mereka dapat menyelami cara hidup harian masyarakat di sini di samping menimba pengalaman baharu”, ujarnya yang juga Pensyarah Kursus Bahasa Inggeris.

Menurut, Nur Ashrafiza Binti Azam, beliau berasa bertuah dapat merasai sendiri suasana kehidupan di kampung.

“Sesetengah peserta bukan berasal dari kampung. Oleh itu, saya amat berharap program seperti ini diteruskan pada masa akan datang agar para mahasiswa menghargai susah payah masayarakat di kampung.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada UniKL RCMP, penduduk kampung dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Seorang lagi peserta, Abdul Faiz Hakimi Ariffin berpendapat program ini sangat bermanfaat kepada mahasiswa, terutamanya yang bukan berasal dari kampung. Beliau juga berharap hubungannya dengan keluarga angkat akan berterusan dan dapat datang lagi terutamanya pada musim buah-buahan.

“Saya teruja ketika melawat kebun getah ibu angkat. Sebelum ini saya tidak mengetahui pun cara menoreh getah,” katanya.

Acara penutup disempurnakan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Sik, Amirah Khairiah Abd Latip.

Para mahasiswa turut dibawa melawat Pusat Penyelidikan Padi Organik di Belantek dan Empangan Beris.

Kandungan disediakan oleh Ibrahim Ahmad