IPOH: Pencapaian kontinjen negeri dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 agak sedikit mengecewakan apabila gagal mencapai sasaran 54 pingat emas.
Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu mengakui sedikit kecewa dengan pencapaian kontinjen negeri Perak pada sukan itu. Setakat malam tadi, Perak berada di kedudukan kelima dengan pungutan 37 emas, perak (50) dan gangsa (51).
Menurut Ahmad Faizal, meskipun pencapaian pada edisi ke 19 kali ini tidak seperti diharapkan, pihaknya tetap berbangga dengan semangat kesukanan ditunjukkan semua atlet.
“Saya berasa sedikit dukacita kerana tidak capai sasaran emas, namun inilah sukan, paling penting atlet kita bertanding penuh semangat kesukanan dan berjaya perkenalkan sukan ditandingi kepada rakyat.
“Jadi keputusan sama ada emas, perak, gangsa atau pulang tanpa sebarang pingat sudah menjadi perkara kedua,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program dialog ‘Masa Depan Malaysia Baharu’ bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak,Ipoh malam tadi.
Dialog berkenaan disertai hampir 300 peserta kalangan pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Perak antaranya Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Petronas.
Sukma 2018 di Perak yang berlangsung sejak 11 September lepas menutup tirai, hari ini. Ahmad Faizal berkata, kontinjen lain turut berpuas hati dengan layanan dan kelancaran acara sepanjang kejohanan.
Menurutnya, tumpuan kerajaan negeri kini untuk menyemarakkan semangat Sukma agar rakyat terus melibatkan diri dalam aktiviti sukan.
“Saya sudahpun berbincang bersama Syed Saddiq berhubung cadangan kerajaan Perak menjadikan Ipoh sebagai bandar sukan.
“Melalui penganjuran Sukma, kita telah belanjakan sejumlah wang besar untuk tambah baik fasiliti, jadi saya mengharapkan semangat untuk bersukan dapat diteruskan,” katanya.