MB Perak Ucap Tahniah Kepada Presiden UMNO

Reading Time: 2 minutes

TAPAH: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menzahirkan ucapan tahniah kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan barisan kepimpinan parti itu yang baharu dilantik semalam.

Namun begitu beliau berpendapat barisan kepimpinan UMNO itu perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

“Saya minta maaf kerana tidak ikuti perkembangan semasa tentang pemilihan itu… Saya ucap tahniah semua yang terpilih dan saya fikir siapa juga terpilih eloklah menjalankan tanggungjawab dengan baik tapi akhirnya kita dalam apa juga parti politik fikirlah tentang kepentingan agama, bangsa dan tanahair bukan kepentingan diri.

“Jika pihak kerajaan hari ini telah giat melakukan perkara yang baik demi untuk menyelamatkan negara… Saya harap kepimpinan UMNO juga dapat beri sokongan padu.

“Bekerjasamalah kalau tentang penyiasatan wang yang disalurkan kepada tabung atau akaun UMNO itu dan sebagainya… Kenalah bekerjasama dengan pihak berkuasa tentang perkara itu,’’ katanya.

 

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Chenderiang dan Pakatan Harapan Tapah anjuran Pusat Khidmat DUN Chenderang di Dewan Komuniti Chenderiang pada Ahad. Turut menemani beliau dalam majlis ini ialah isteri, Dr. Nomee Ashikin Mohd Radzi.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai Presiden UMNO setelah beroleh 93 undi sekali gus mengatasi dua pesaingnya iaitu bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (51 undi) dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (23 undi).

Pada sidang media yang sama Ahmad Faizal berkata, kerajaan bercadang membangunkan kawasan masyarakat orang asli di Tapah sebagai kawasan eko pelancongan.

“Saya memikirkan kawasan orang asli yang begitu luas di Tapah ini boleh kita majukan dalam eko pelancongan dan sebagainya.

Selain itu katanya, Tapah sedang mengalami proses pertumbuhan dengan adanya kawasan taman perindustrian dan kawasan UiTM yang cukup besar yang menjadi pelonjak kepada pertumbuhan di Tapah.

“Saya telahpun berjumpa dan mendengar taklimat daripada semua ketua jabatan di peringkat daerah Tapah dan saya dapati banyak prospek besar… Cuma satu masalah paling rumit untuk diselesaikan iaitu masalah kesesakan lalu lintas di bandar Tapah,’’ katanya.

Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang juga menjelaskan bahawa beliau telahpun menyediakan pusat operasi di Bukit Baldwin di pekan Tapah baru-baru ini dengan menempatkan beberapa orang pegawai untuk membantu menyelesaikan masalah orang ramai dan sebagainya.

“Tempat operasi tersebut akan terus dijadikan pejabat pusat khidmat ADUN Chenderiang yang akan beroperasi daripada jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari dan ianya akan bersambung hingga ke malam jika ada keperluan.’’ Katanya.