PAS Perak Gesa Kerajaan Gubal Akta Anti Lompat Parti

Reading Time: < 1 minute

BAGAN SERAI: PAS Perak tampil menggesa kerajaan Harapan menggubal Akta Anti Lompat Parti dalam persidangan Parlimen akan datang bagi mengelak budaya wakil rakyat `lompat’ parti berleluasa di negara ini.

Pesuruhjaya PAS Perak, Haji Razman Zakaria berkata, langkah itu penting bagi mengelak kebimbangan budaya lompat parti akan berterusan sehingga menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan yang dipilih rakyat melalui sistem amalan demokrasi.

Menurutnya, rakyat negara ini sebahagian besarnya mengundi atas dasar parti bukan individu dan kesemua wakil rakyat bertanding sebenarnya atas tiket parti kecuali parti bebas.

“Justeru, jika mana-mana wakil rakyat hendak lompat parti atau keluar parti menjadi wakil rakyat bebas, kerusi ditandingi pemimpin berkenaan mesti dikosongkan dan dipulang balik kepada rakyat.

“Itulah antara perkara perlu terkandung dalam akta baharu dicadangkan kerana mandat memilih wakil rakyat baharu bagi kawasan wakil rakyat lompat terbabit harus diserahkan kembali kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di Program Rumah Terbuka Aidilfitri PAS kawasan Bagan Serai di Masjid Tinggi pada Sabtu.

Razman yang juga Adun Gunong Semanggol berkata, senario ramai wakil rakyat keluar parti perlu dibendung sepenuhnya kerana keputusan mereka boleh menentukan sama ada tertukar atau tertubuhnya kerajaan baharu.

Menurutnya, amalan wakil rakyat lompat parti merupakan satu budaya tidak baik kepada masa depan negara.

PAS, katanya, mengharapkan satu ketelusan dalam pentadbiran kerajaan Harapan dalam menangani isu ini.

Optimis sokongan pengundi Melayu di negara ini akan beralih kepada PAS pada PRU15 nanti

Menurutnya, peralihan sokongan itu dijangka berlaku secara besar-besaran berikutan beberapa keputusan kontroversi dibuat kerajaan Harapan ketika ini dilihat sudah mula menyentuh sensitiviti agama dan hak keistimewaan orang Melayu.