Perak Cadang Wujud Zon Tanaman Sayur, Buah-buahan

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Kerajaan Perak mengambil langkah memperkasakan lagi bidang pertanian di negeri ini dengan cadangan mewujudkan pembahagian kawasan (zoning) untuk tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan.

Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu berkata pembahagian kawasan zon itu akan dikenalpasti sebagai kawasan yang benar-benar sesuai untuk tanah pertanian.

Ahmad Faizal juga menjelaskan bahawa cadangan mewujudkan pembahagian kawasan zon itu tidak bertentangan sama sekali dengan peranan yang dimainkan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).

Katanya, isu itu tidak timbul kerana PPPNP juga dibawah kerajaan negeri dan beliau adalah pengerusi perbadanan itu.

“Kerajaan negeri boleh fikirkan untuk perkenalkan zoning bagi tanaman contohnya di tempat yang sesuai bagi sayur-sayuran dan kita zonkan kawasan itu.

“Begitu juga dengan buah-buahan serta tanaman lain, saya fikir perkara ini menarik yang boleh dipertimbangkan dan perhalusi, selain dijadikan dasar di peringkat kerajaan negeri,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas menerima serahan cek RM 50,000 dari Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Jumaat.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, YB Tan Kar Hing dan Presiden PCCCI, Datuk Liew Sew Yee.

Ahmad Faizal turut menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka dalam mengadakan kerjasama dengan sektor swasta dalam membangunkan ekonomi negeri.

“Apa yang kita mahu buat ialah dengan meneruskan kerjasama dengan sektor swasta dan berterusan selesaikan masalah termasuk isu pengangkutan, lebuhraya dan sebagainya,” katanya.