Status Pulau Sembilan Ditentukan Tidak Lama Lagi

Reading Time: < 1 minute

Kedudukan Pulau Sembilan sama ada akan dibuka semula atau ditutup akan ditentukan dalam masa terdekat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing, kertas kerja mengenai perancangan masa depan pulau itu sedang dalam proses dan akan dibentangkan kepada kerajaan negeri tidak lama lagi.

Pulau Sembilan telah ditutup sejak April tahun lepas kepada semua aktiviti pelancongan ekoran keindahan pulau tersebut terancam akibat aktiviti komersial yang tidak terkawal. Pengusaha pelancongan tidak menghormati peraturan dan kawalan yang telah ditetapkan oleh kerajaan telah mengakibatkan kerosakan ekosistem alam di sepanjang pantainya. Pulau Sembilan terkenal di kalangan pelancong dan pencinta alam kerana pasir pantai yang bercahaya biru pada waktu malam akibat tindakbalas cahaya phytoplankton yang bersifat bioluminescent.

“Sama ada Pulau Sembilan kekal ditutup atau dibuka kepada orang ramai akan ditentukan oleh kerajaan, kita perlu tunggu selepas kertas kerja siap sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Tourism Perak di Ipoh malam tadi.

Menurut Tan, beliau berpuas hati selepas lawatannya ke pulau tersebut untuk melihat kerja-kerja pemuliharaan oleh JKR.

Pulau Sembilan terletak kira-kira 17 kilometer arah ke Selatan dari Pulau Pangkor seperti dalam peta.