Zainol Akan Kongsi Isu Tingkat Hasil Padi Bersama Menteri Pertanian

Reading Time: 2 minutes

LANGKAP: Isu kawasan jelapang padi Sungai Manik dan usaha meningkatkan hasil padi sehingga 10 tan sehektar berbanding 2.5 tan sehektar ketika ini akan dibawa untuk dikongsi bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, beliau akan membawa perkara itu dalam perbincangan bersama Salahuddin apabila menteri berkenaan mengadakan lawatan ke Sungai Manik pada 8 Julai nanti.

“Setakat ini terdapat 5,000 pesawah di kawasan jelapang padi Sungai Manik dan usaha peningkatan penghasilan padi ini sentiasa menjadi agenda penting bagi saya sebagai wakil rakyat di sini,” katanya yang juga Penasihat Khas Menteri Besar Perak.

Beliau berkata demikian kepada Independent.my di majlis Jamuan Raya Aidilfitri ADUN Sungai Manik di Dewan Perbandaran Teluk Intan, Langkap pada Ahad. Hadir sama memeriahkan majlis itu ialah Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan isteri.

Menurut Zainol, selain itu isu projek menaik taraf saliran juga perlu diteruskan dalam perbincangan bersama menteri berkenaan nanti.

“Jadi saya rasa dengan kehadiran menteri minggu depan kita hendak berkongsi masalah kita…. projek naik taraf saliran tu dapat diteruskan,” ujarnya.

Mengulas mengenai sambutan majlis Aidilfitri hari ini, beliau kagum dan gembira kerana ia dikunjungi oleh segenap lapisan masyarakat selain pengunjung daripada pelbagai parti yang datang untuk memeriahkan majlis itu.

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar kerana sempat hadir begitu juga dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lainpun… Daripada Pasir Salak ramai yang hadir ….Ramai orang-orang UMNO yang turut hadir juga. Turut kelihatan hadir pada hari ini ialah Naib Pengerusi AMANAH Perak Dr Muhaimin Sulam dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun.

“Ini menunjukkan suasana hari ini bukan untuk kita nak berbeza pendapat tapi kita nak merapatkan hubungan kita, ukhwah kita… yang lebih penting saya sebagai ADUN Sungai Manik ni saya nak beri khidmat kepada semua tak kisahlah dari mana partipun.

“Yang penting bagaimana kita nak membela rakyat… saya rasa itu antara agenda Pakatan Harapan dalam mentadbir negeri,” kata Zainol.