Perak Bertegas Tidak Akan Bertolerensi Dalam Amalan Rasuah

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak bertegas tidak akan bertoleransi dalam amalan rasuah sehingga wujud rasa sangsi pelabur asing untuk datang melabur di negeri ini.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin memberi jaminan amalan `jijik’ seperti itu tidak akan berlaku di bawah pentadbiran kerajaan sedia ada.

Beliau berkata, kerajaan PH Perak yang baharu dipilih rakyat mahu mempamirkan sikap keterbukaan dan bebas dari sebarang amalan rasuah.

“Kalau kita baca kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri dua hari sudah menyatakan pelaburan agak lembab di negara ini kerana ada unsur sedemikian.

“Hari ini pelabur tak mahu terlihat unsur negatif itu…kalau kita kerajaan mempamirkan keterbukaan dan sikap bersih mereka (pelabur) akan hormati kita.

“Itu satu kriteria melibatkan pelabur merasa yakin dengan kerajaan sekarang,’’ katanya.

Nizar berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani ikrar bebas rasuah antara Persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Perak dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ipoh pada Isnin.

Lafaz ikrar itu diketuai oleh Pengerusi FMM Perak, Datuk Gan Tack Kong dan disaksikan Pengarah SPRM Prak Negeri, Datuk Zainul Darus.

Mengenai ikrar bebas rasuah, beliau menjelaskan 158 jabatan kerajaan yang telahpun membuat ikrar itu akan meneruskan aku janji mereka tanpa perlu memperbaharui ikrar lagi. Nizar menyifatkan program ikras bebas rasuah ini sebagai satu program yang memberikan satu masa depan yang baik bagi negeri Perak.