GLC Gagal Bayar Gaji 199 Pekerja: Pentadbiran Terdahulu Dipersalahkan

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu menyalahkan pentadbiran kerajaan terdahulu sehingga mengakibatkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terpaksa menanggung kerugian yang akhirnya tidak mampu membayar gaji hampir 199 pekerjanya hujung bulan ini.

Beliau mendedahkan GLC berkenaan dikesan menggunakan kaedah pembiayaan bersyarat (dengan kemudahan overdraf) dengan pihak bank hingga mengakibatkan masalah tersebut ditanggung oleh pihak pengurusan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

“Ia berkait kenyataan Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak kalau UMNO tidak lagi memerintah negara ini, orang Melayu akan jadi bangsat.

“Tetapi hari ini di negeri Perak lihatlah hasil daripada apa yang telah pentadbiran UMNO lakukan pada GLC ini hingga tidak mampu membayar gaji akibat daripada sikap boros atau pentadbiran yang lebih kepada kemungkaran hingga mengakibatkan keadaan berlaku seteruk ini.

“Saya ingin memberi peringatan kepada pihak yang dahulunya taksub dengan kepimpinan orang ini bahawa melayu tak bangsat dengan kalahnya UMNO tetapi Melayu telah jadi bangsat kerana UMNO,” katanya kepada pemberita di Ipoh pada Isnin.

Ahmad Faizal menzahirkan rasa kesalnya tentang keadaan yang berlaku kerana tindakan untuk mengurangkan bebanan kewangan ditangung GLC itu akan mengakibatkan sebilangan besar pekerja terpaksa diberhentikan.

“Ramai pihak yang akan terjejas periuk nasi mereka akan terganggu jadi kita perlu mencari jalan penyelesaian dengan membayar gaji dan meneliti semula beberapa perjanjian.

“Sekiranya ada ketirisan di situ kita boleh adakan rundingan semula supaya langkah itu mendatangkan keuntungan kepada syarikat lantas membantu mengurangkan beban syarikat,” katanya.