Ahmad Faizal Perjelaskan Kerajaan Harapan Tiada `Political Fund’

Reading Time: 2 minutes

IPOH:  YAB Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menceritakan kerap dikunjungi teman rapat dan rakan taulan termasuk mereka yang datang memohon bantuan dan menawarkan`polical fund’ atas kedudukannya sebagai seorang pemimpin negeri.

Namun sudah awal-awal lagi beliau jelaskan kepada mereka ibarat kata kiasan Melayu `lebih baik berterus terang dari awal daripada bermasam muka dikemudian hari’ bahawa beliau tidak dapat berbuat begitu kerana berpegang kepada amanah rakyat.

“Jadi saya ingin menyeru kepada semua termasuk kepada diri saya sendiri, walaupun sejak menjadi menteri besar ni banyak lah juga kawan-kawan datang… katanya kalau nak bantuan ‘political fund’.

“Tak ada tuan-tuan dan puan-puan, tak ada `political fund’ dalam kerajaan Pakatan Harapan.

“Kalau saya nak minta bantuan kepada program-program CSR dan sebagainya , kita sebut terang-terang secara terbuka… baru tadi saya berjumpa dengan seorang pelabur dari luar yang nak melabur ke negeri Perak , dia bertanya kalau perlu ‘political fund’ beritahu dia.

“Saya kata macam ni, dekat kawasan saya itu ada banyak masalah. Di Chenderiang itu banyak anak orang asli nak pergi sekolah jauh, saya nak minta kalau you ada banyak sangat duit, untung banyak saya syukur, saya seronok you meniaga untung, tapi kalau nak bantu, buka sekolah pakai nama company you, buka sekolah, apa salah bantu orang.

“Ini cara yang kita nak buat sekarang ini, bukan lagi ‘political fund’ yang akhirnya masuk ke dalam poket sndiri.

“Kalau tuan-tuan dan puan-puan semua pengusaha, saya nak bagi komitmen dekat sini, kalau ada di kalangan pegawai-pegawai kerajaan, ada di kalangan anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri Perak atau orang yang mengaku saya dah berkawan dengan `Peja’ ni dari kecil, saya boleh bantu itu dan ini, tapi kena ada bantu sikit ‘political fund’, jangan percaya, jangan bagi dan jangan bantu… boleh? ‘’ katanya disambut dengan jawapan ‘boleh’ oleh para hadirin.

Ahmad Faizal berkata demikian dalam ucapan di majlis Ramah Mesra bersama Usahawan dan Pemain Industri Perak anjuran MITI Perak di Silveritage, Ipoh pada Isnin.

Beliau seterusnya menjelaskan kerajaan Pakatan Harapan sentiasa berusaha yang terbaik untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat namun tidak boleh menjanjikan `bulan dan bintang.

“Kami akan berusaha bersungguh sungguh untuk bantu semua tak kira siapa tetapi dalam bantuan kami tak boleh nak janjikan bulan dan bintang… kami cuma mampu bantu setakat mana yang terdaya.

“Jadi kadang-kadang tu orang kata kalau MB sain tentu boleh lulus… tak boleh begitu tuan-tuan dan puan-puan kerana saya ada amanah daripada rakyat, kerja kita nak buat mengikut proses kerajaan, ulasan-ulasan daripada jabatan-jabatan dan sebagainya, tak boleh nak guna kuasa ikut suka hati tok nenek kita, tak boleh begitu.

“Saya harap tuan-tuan, puan-puan semua faham, tapi dalam usaha kita nak bangunkan negeri kita akan cuba cari jalan bagaimana untuk mempermudahkan.’’ ujar Ahmad Faizal.

Dalam majlis ini, Ahmad Faizal meluangkan masa untuk menyampaikan plak usahawan kepada 25 usahawan negeri Perak.