Media Malaysia Baharu Perlu ‘Independent’ – Muhamad Arafat

  •  
  •  
  •  
Reading Time: 2 minutes

IPOH: Media Malaysia Baharu perlu bebas (independent) dalam memaparkan liputan berita yang bukan sahaja di pihak kerajaan malah juga di pihak sebelah sana (pembangkang).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, YB Muhamad Arafat berkata, ini penting bagi memastikan wujudnya liputan seimbang dan memberi ruang kepada pembangkang membuat penjelasan berhubung isu-isu yang mereka bangkitkan.

Beliau mengakui semasa pemerintahan kerajaan sebelum ini, liputan meluas diberikan oleh pihak media arus perdana kepada pihak pemerintah sedangkan pembangkang kurang diberikan ruang liputan sehinggakan rakyat kurang mendapat informasi.

Justeru, katanya, dalam misi merealisasikan Malaysia Baharu ini, kerajaan Pakatan Harapan ingin melihat pihak pengamal media bukan sahaja memberi ruang liputan kepada kerajaan PH tetapi juga kepada pihak pembangkang.

“Ini kerana kita mahu menangkis persepsi negatif terhadap kerajaan dan membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan Malaysia Baharu bersikap terbuka berhubung peranan yang dimainkan pihak media dalam penyebaran informasi sekaligus membantu membentuk masyarakat bermaklumat,’’ katanya.

Muhamad Arafat berkata demikian semasa berucap di majlis ramah mesra bersama media di Hotel Casuarina@Maru di Ipoh malam tadi. Majlis itu dianjurkan Pusat Khidmat ADUN Hulu Kinta, Parlimen Tambun.

Beliau seterusnya menjelas peranan utama yang sedang digerakkan oleh pusat khidmat masyarakat Hulu Kinta iaitu mengutamakan kepentingan rakyat di kawasan yang diwakilinya.

Katanya, konsep khidmat yang diberikan jauh berbeza dengan khidmat yang diberikan oleh wakil-wakil rakyat kerajaan terdahulu.

“Jika amalan kerajaan terdahulu mengadakan program komuniti bersama rakyat dimana hamper diberikan di akhir program tetapi di pihak saya, kita adakan program untuk menyelesaikan permasalahan yang dibangkitkan rakyat sehingga ke peringkat akar umbi.

“Yang mana boleh diselesaikan segera kita selesaikan dan yang memerlukan masa kita rujukkan permasalahan mereka kepada jabatan dan agensi yang berkaitan.

“Kita tidak mahu adanya lagi istilah ‘akan’ diambil tindakan semasa memberikan jawapan kepada rakyat berhubung isu yang mereka bangkitkan dan ini selaras dengan visi kita untuk membela nasib kebajikan rakyat di kawasan DUN Hulu Kinta, Parlimen Tambun ini,’’ ujarnya.