Mufti Perak Zahir Dukacita Kerajaan Negeri Iktiraf UEC

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menzahirkan rasa dukacita berhubung pendirian kerajaan negeri Perak untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Menurut beliau, pengiktirafan itu akan membuka ruang cukup besar kepada kaum lain dengan menimbulkan semangat perkauman yang boleh merosakkan suasana harmoni di negara ini.

“Mutakhir ini, bidang pendidikan yang diharmonikan dengan perpaduan kaum sedang dirosakkan oleh desakan pihak-pihak tertentu yang semakin berani menggugat Dasar Pendidikan Kebangsaan sedia ada.

“Adalah amat mendukacitakan sama sekali sekiranya UEC diiktiraf sedangkan sistem pendidikan di negara ini telah dibentuk berasaskan perpaduan kaum dan pembinaan negara bangsa,” katanya dalam satu kenyataannnya pada Rabu.

Harussani berkata, Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 adalah antara dasar terbaik yang telah digubal dengan mengambil kira semangat perpaduan kaum bagi memastikan sistem pendidikan negara mampu memelihara perpaduan nasional.

Katanya, kerajaan perlu mengambil kira maslahat umum, silibus, dasar, polisi dan akta-akta sedia ada serta pandangan pakar juga tokoh negarawan dalam setiap perancangan dasar baharu.

“Bukannya sekadar menerima cadangan dan terus melaksanakannya tanpa melihat kepada kesan dan akibat dasar tersebut.

“Pengorbanan negarawan seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Tan Siew Sin dari MCA yang menghalang pelaksanaan UEC pada zaman mereka adalah contoh semangat perpaduan kaum yang sangat tinggi,” katanya.

Harussani berkata, pengiktirafan UEC akan merungkai asas perpaduan kaum yang berpaksikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Bahasa Melayu telah diiktiraf secara jelas sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

“Dasar pendidikan sedia ada yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ini telah terbukti mampu memacu pembangunan negara ke arah yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau akan mengatur pertemuan bersama Mufti Perak dalam masa terdekat ini untuk menerangkan pendirian kerajaan berhubung perkara itu.

Menurut beliau, keputusan untuk mengiktiraf UCE dibuat sebagai memenuhi janji dalam manifesto Pakatan Harapan seperti dalam kempen pilihan raya sebelum ini.

“Saya fikir masih ramai yang tidak memahami maksud sebenar perkara ini, dalam konteks kerajaan Perak, kita mengiktiraf UEC namun dengan syarat mendapat kredit dalam bahasa Melayu kerana mereka yang berkhidmat sebagai penjawat awam mestilah boleh berbicara, menulis atau membaca dalam bahasa Melayu.

“Langkah pengiktirafan ini juga sebenarnya menunjukkan Pakatan Harapan tidak mengekang mana-mana pemegang sijil UEC mendapat peluang sewajarnya bertugas sebagai penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.