Melayu `Pendatang’: Pemuda Perak Desak Tun M Minta Kulasegaran Letak Jawatan

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Pemuda UMNO Perak meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed menerima desakan pergerakan itu supaya Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran segera meletak jawatan kerana menghina dan menyamakan orang Melayu sebagai `pendatang’.

Ketuanya, Mohd Ariff Abdul Majid berkata, ucapan yang dikeluarkan Kulasegaran jelas telah mengundang ketegangan kaum sekaligus ketidakstabilan dari segi keselamatan.

Menurut beliau, meskipun Naib Pengerusi DAP itu telah meminta maaf berhubung kenyataannya namun Pemuda UMNO Perak mahu siasatan segera dibuat oleh pihak berwajib dan tindakan tegas diambil terhadap Kulasegaran.

“Kita minta Perdana Menteri menerima desakan kita supaya Kulasegaran meletak jawatan untuk memberi pengajaran kepada pemimpin lain supaya jangan menguris perasaan orang Melayu dengan menyifatkan orang Melayu sebagai pendatang.

“Pada hemat saya ucapan sedemikian menjurus kepada unsur-unsur menghasut dan menimbulkan ketegangan kaum serta mengakibatkan ketidakstabilan dari segi keselamatan.” katanya.

Mohd Ariff berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh pada Isnin. Hadir semua lebih 30 ahli pergerakan itu termasuk wakil-wakil daripada dua badan bukan kerajaan (NGO).

Selepas mengguris perasaan orang Melayu dengan ucapan yang mengandungi sentimen perkauman tanpa mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia hari ini, Kulasegaran memohon maaf di atas ketelanjurannya yang menyifatkan orang Melayu sebagai pendatang.

Bagaimanapun, permohonan maaf Kulasegaran itu tidak mencukupi untuk meredakan perasaan marah dan tidak puas hati orang Melayu.

Dalam satu kenyataan permohonan maafnya, Kulasegaran menjelaskan, permohonan itu (maaf) dibuat bagi mengelakkan ucapannya di Nilai, Negeri Sembilan pada minggu lepas, daripada berlarutan dan menjadi semakin teruk selain daripada mengatakan, ucapannya itu adalah salahfaham.

Minggu lepas, ucapan Kulasegaran di dalam bahasa Tamil pada satu program di Nilai, Negeri Sembilan menjadi tular di media sosial Youtube. Kulasegaran dalam ucapannya itu mendakwa, Melayu merupakan golongan pendatang di negara ini sementara penduduk asal merupakan penganut agama Hindu berdasarkan semua bukti yang terdapat di Lembah Bujang, Kedah di mana banyak kuil ditemukan di sana.

Kelmarin, Independent diberitahu dari sumber yang rapat bahawa Kula menafikan beliau membuat kenyataan berbau perkauman dan mendakwa beliau difitnah dan kenyataan beliau telah ditokok tambah pihak tertentu.