Pengurusan Pasukan Perak Mohon Maaf Kepada Penyokong

Reading Time: < 1 minute

Pengurusan pasukan bolasepak Liga Super Perak, PAFA, hari ini melalui satu kenyataan media menyatakan permohonan maaf kepada semua penyokong setia pasukan kerana gagal memenangi perlawanan menentang PKNS di Shah Alam semalam.

PAFA dalam pada itu mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyokong yang begitu ramai datang bagi memberi sokongan kepada pasukan. Mereka bukan sahaja penyokong Perak yang berada di sekitar lembah klang, malah ada yang datang sini semata-mata mahu melihat kemenangan bagi memastikan Perak berjaya dinobatkan sebagai Naib Juara Liga Super 2018.

Kekalahan 4-1 kepada PKNS membuka peluang kepada pasukan lain yang masih berbaki satu perlawanan untuk mencuri tangga kedua yang diduduki pasukan Perak sekarang.

Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dalam kenyataan itu mengambil tanggungjawab atas kekalahan itu dan akan mengambil perhatian serius terhadap prestasi pasukan.

Beliau berharap para penyokong akan terus memberikan sokongan kepada pasukan. PAFA sedia menerima kritikan dan teguran dari peminat dan setiap teguran dan pandangan peminat akan diberikan penilaian dengan sebaiknya.

Kedudukan di dalam liga ketika ini menyaksikan Pahang dan Terengganu masingĀ² mempunyai peluang untuk memintas kedudukan Perak di tangga ke-2 liga.