Bekas Anggota VAT69 Gesa Hentikan Cubaan Angkat PKM Sebagai Wira

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Isu forum didakwa cuba mengangkat fahaman Parti Komunis Malaya (PKM) seperti yang dipaparkan dalam media termasuk media sosial semalam jelas menguris perasaan para bekas veteran tentera.

Seorang bekas anggota VAT69, Naim Abdullah, 69, mahu golongan tertentu termasuk ahli politik menghentikan segera tindakan itu kerana ia amat jelas mengundang kegusaran masyarakat.

Beliau menganggap tindakan seumpama itu sebagai langsung tidak menghormati pengorbanan pejuang kemerdekaan tanah air sewaktu menentang komunis.

“Saya minta golongan ini supaya tidak cuba menyebarkan fahaman yang seolah-olah mengangkat Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai wira kemerdekaan negara.

“Kalau ikut zaman ini, generasi Y sekarang bukannya tidak memahami sejarah kerana mereka golongan terpelajar pastinya mereka jelas dengan perjuangan negara kita pada 1968, zaman darurat pada tahun 1963 konfrontasi dengan Indonesia, sejarah komunis letak senjata pada tahun 1989.

“Mereka (komunis) meletak senjata atas perjuangan bukan ideologi malah sehingga kini pihak pengganas tidak mengatakan mereka meletakkan senjata dan ideologi sebaliknya senjata dan ideologinya masih dipegang hingga sekarang,” katanya.

Naim berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa. Beliau kecewa kerana sudah ada percubaan dan usaha oleh pihak tertentu yang ingin membangkitkan semula isu fahaman komunis ini.

“Generasi Y perlu tanya datuk nenek di kampung, tanya ibubapa berapa ramai pasukan keselamatan kita yang terkorban kerana bertempur dan tercedera.

“Apakah sumbangan generai Y kepada pihak kami veteran bukan kami nak diagung-agungkan tetapi mereka perlu menghormati perjuangan kami semua,” katanya.

Justeru, katanya lagi, semua pihak terutama ahli politik diminta tidak menggunakan isu berkenaan untuk meraih populariti tetapi perlu memahami dan menghargai pengorbanan serta jasa semua anggota pasukan keselamatan termasuk polis dan Tentera.

Beliau turut bercerita pengalaman pahitnya sebagai bekas anggota Komando sekitar tahun 1976 hingga 2009.

“Kenangan pahit yang tidak dapat saya lupakan apabila melihat sendiri rakan seperjuangannya terkena tembakan hingga putus kaki dan tercedera,” katanya.

Terdahulu Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan berangkat mencemar duli ke Majlis Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Perak. Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Zulkarnain Idris Shah. Hadir sama YAB Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri.

Hari Pahlawan disambut sebagai meraikan dan mengenang kembali jasa-jasa pejuang serta pasukan pertahanan negara, yang berjuang ke arah kemerdekaan dan mengekalkan keamanan negara.