Mempelawa Bekas UMNO Masuk Bersatu Ibarat Membuka Kembali Ruang Untuk Rasuah

Reading Time: 4 minutes

Tun Mahathir dalam program Bicara Minda yang dianjurkan sebuah portal berita minggu lalu berkata rasuah sudah berkurang malah tidak lagi mendengar masalah itu berlaku sejak kerajaan baharu pimpinan beliau mengambil pendekatan memerangi rasuah hingga ke akar umbi.

Namun beliau perlu sedar bahawa pemilihan PKR yang sedang berlangsung ketika ini, parti yang memperjuangkan reformasi pentadbiran baru-baru ini terpalit dengan isu rasuah. Ini menunjukkan tidak perlu menunggu bekas ahli UMNO yang sinonim dengan rasuah dan salah guna kuasa menyertai Bersatu untuk terlibat dengan rasuah malah parti PKR juga sudah menunjukkan bibit-bibit permulaan rasuah sejak mereka menjadi kerajaan.

Mengampuni dan membawa masuk ahli politik yang korup dari parti korup ke dalam kerajaan baru akan menjadi langkah permulaan kegiatan rasuah berulang.

Nama-nama seperti Nazri Aziz, Hishamuddin Hussein, Anifah Aman sedang mengintai peluang atau apa saja kesempatan yang dapat untuk menyertai kerajaan baru pimpinan Tun Mahathir.

Tidak hairanlah Nazri Aziz secara terang-terang membuat kenyataan bahawa beliau menyokong Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil Port Dickson baru-baru ini. Kecenderungan itu dapat dihidu oleh Zahid Hamidi lalu Nazri cepat-cepat diangkat menjadi Setiausaha Agung Barisan Nasional yang baru. Kata Zahid, Nazri ditugaskan untuk berjumpa pihak yang berpotensi menyertai BN. Tidak mustahil tugas yang diberikan kepada Nazri itu akan dipergunakan oleh Nazri pula untuk bertemu pihak yang berpotensi membawa beliau menyertai Pakatan Harapan. Akhirnya senjata Zahid makan tuan.

Hishamuddin yang menawarkan khidmat untuk mencari Jho Low agak mengejutkan kerana selama ini beliau berdiam diri dalam hal itu. Hisham mendakwa beliau boleh menggunakan khidmat kenalan dan rakan-rakannya yang ada kaitan dengan kerajaan China untuk membawa pulang Jho Low. Kenyataan beliau menawarkan khidmat mencari dan membawa pulang Jho Low telah merendahkan peranan Tun Daim Zainuddin dan Fuzi Harun yang posisinya sebagai Ketua Polis Negara sepatutnya lebih berkebolehan dalam menangani perkara itu. Nampak tindakan Hishamuddin seperti begitu terdesak lebih cenderung untuk menyelamatkan diri sebagai tukaran kononnya beliau tidak ada melakukan apa-apa kesalahan rasuah dan jika adapun, beliau mungkin menyangka kerajaan tidak akan mengambil tindakan oleh kerana tindakan terbarunya dilihat lebih menyebelahi kerajaan Pakatan Harapan. Hishamuddin tidak ada apa-apa yang istimewa berbanding Fuzi Harun atau Daim Zainuddin.

Tidak hairanlah A Kadir Jasin semalam berkata ada 40 anggota parlimen dari UMNO yang mahu keluar parti dan sebahagian mereka melompat masuk Bersatu kerana semuanya sedang tidak senang duduk. Mereka ini sangat bimbang akan tersenarai menjadi orang seterusnya selepas Najib, Zahid, Irwan Serigar, Rosmah dan lain-lain yang disiasat SPRM dan PDRM.

PPBM atau Bersatu masih kekurangan pemimpin yang berwibawa seperti PKR dan DAP. Mahathir begitu memerlukan kelebihan untuk menjadikan Bersatu parti yang dominan seperti UMNO dalam Barisan Nasional. Penyertaan Mustapha Mohamad ke dalam Bersatu memberi sedikit kelebihan kepada Bersatu di Kelantan walaupun beliau tidak dijanjikan apa-apa jawatan dalam parti mahupun kerajaan. Itu cuma permulaan. Tiada siapa tahu apa akan berlaku setahun aatau 2 tahun akan datang. Mahathir tentu tidak mahu melihat Mustapha yang mempunyai kualiti kepimpinan hanya sekadar ahli biasa. Mahathir pernah berkata PH tewas di negeri pantai Timur kerana orang Melayu yang tidak suka kepada UMNO di sana tidak mempunyai alternatif lain selain dari PAS, maka mereka mengundi PAS.

Di Perak contohnya, Bersatu adalah parti minoriti dalam PH walaupun Menteri Besar dari Bersatu. Bersatu Perak ketandusan pemimpin berwibawa malah Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal hanya memenangi kerusi Chenderiang dengan kelebihan cuma 39 undi. PH Perak sangat rapuh dimana penguasaan mereka adalah bergantung kepada sokongan ehsan 2 bekas ahli UMNO iaitu Dato Nolee Ashilin dan Dato Zainol Fadzi. Nolee adalah adik kepada isteri Ahmad Faizal, Dr. Nomee. Nolee tidak menyertai Bersatu tapi menyatakan sokongan kepada kerajaan PH Perak. Mungkin sokongan itu tidak genuine kerana ia adalah sokongan persaudaraan atas dasar pertalian keluarga. Bila-bila masa saja ia boleh berpaling tadah.

Zainol Fadzi pula lompat keluar dari UMNO dan menyertai Bersatu. Di belakangnya, beliau turut membawa ratusan penyokong setianya dari UMNO melompat ke Bersatu. Sokongan itu lebih-lebih lagi berlaku selepas negara bertukar pemerintahan dari BN kepada PH yang dipimpin oleh Tun Mahathir, pada ketika Perak masih belum diputuskan siapa yang bakal menubuhkan kerajaan antara BN atau PH. Ada yang mempertikaikan sokongan Zainol adalah kerana untuk menyelamatkan diri, sama seperti apa yang sedang cuba diusahakan oleh Nazri Aziz, Hishamuddin.

Ketika Perak masih dalam keadaan tidak menentu siapa yang bakal menubuhkan kerajaan, PH yang memiliki 29 kerusi cuma perlu mendapatkan cuma satu sokongan dari kalangan ADUN BN atau PAS.
Ketika menyembah maklum kepada Sultan Nazrin jumlah sokongan, mengejutkan PH mendapat tambahan 2 sokongan. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan antara Nolee dan Zainol, siapa dahulu yang menyatakan sokongan kepada PH.

Kini, setelah negara bertukar kepimpinan dari BN kepada PH, kedua-dua mereka besar kemungkinan tidak akan berpaling tadah dan kembali menyokong BN. Ia adalah tindakan yang bodoh untuk kembali menyokong parti lama yang sudah semakin reput tidak lagi menguasai tampuk pemerintahan negara.

Tidak perlu dua, PH sebenarnya cuma perlukan satu sahaja dan PH hendaklah berhati-hati dalam menerima lebih ramai lagi bekas UMNO menyertai PH atau Bersatu.

Pemimpin UMNO Perak semasa era Najib dahulu juga tidak sunyi dari skandal. Buktinya, pendedahan demi pendedahan tentang bagaimana mereka menguruskan syarikat-syarikat milik kerajaan telah membawa kerugian berjuta-juta ringgit kepada kerajaan negeri dan rakyat Perak. Masih ada yang lepas bebas tapi mereka dalam keadaan tidak tenang. Tunggu saja episod seterusnya.

Jika diperhatikan, DAP adalah parti yang dominan di Perak dengan menguasai 18 kerusi negeri. Tetapi adalah janggal sekali jika bekas ahli UMNO yang mahu lompat parti berminat menyertai DAP. Kebanyakannya sudah tentu memilih Bersatu kerana ia lebih mirip UMNO. Bersatu adalah parti berasaskan pribumi, lebih cenderung kepada kaum Bumiputera seperti UMNO.

Jika terdapat bekas ahli UMNO yang menyertai DAP, itu petanda baik bahawa dia sedia meninggalkan perjuangan berasaskan kaum tertentu dan menukar ideologinya kepada perjuangan nasional. Jika ini berlaku, amat tipis sekali kemungkinan dia akan melakukan rasuah memandangkan etnik Melayu adalah minoriti di dalam DAP. Seseorang boleh terdedah kepada perlakuan rasuah jika terlalu berkuasa dalam parti atau kerajaan dan tidak ramai yang berani menegur dan menentang.

Jika semakin ramai ahli UMNO lompat parti menyertai Bersatu, maka sia-sialah penyokong PH yang bertindak menolak Barisan Nasional kerana benci kepada UMNO secara diam-diam sudah menyelit masuk ke dalam PH.  Oleh itu, apa gunanya pilihnaraya kalau rakyat ditipu dengan tindakan sebegini kerana mereka yang telah ditolak rakyat telah menyelinap masuk ke dalam PH dan hanya bersalin kulit sahaja, isinya tetap sama.

PH perlu lebih berhati-hati menerima kemasukan ahli UMNO dalam parti terutama Bersatu kerana DNA rasuah, menabur dedak dan salahguna kuasa yang sudah sebati dalam benak mereka sejak berpuluh tahun adalah amat sukar dibuang.