Nazrin Cheong Suntik Semangat 120 Pelajar Tahfiz Al-Ansori Jadi Insan Berjaya

Reading Time: 2 minutes

CHEMOR | Kejayaan dan kecemerlangan hidup yang dikecapi seseorang insan terletak kepada diri sendiri, jika jalan baik dan kesempurnaan hidup yang dipilih maka jadi baiklah dan begitu juga sebaliknya.

Justeru menurut Pengarah Urusan Mimbar Nusantara Holdings Sdn Bhd, Nazrin Cheong Abdullah hanya melalui pendidikan sahaja dapat menjamin kejayaan dan kecemerlangan hidup masa depan seseorang insan.

Katanya, kemiskinan bukan menjadi halangan untuk seseorang insan itu berjaya dalam hidup kerana paling utama ialah kesungguhan untuk bekerja keras dan rajin belajar yang ada pada diri sendiri.   

“Jadi gunakan kesempatan yang sedia ada untuk memanfaatkan ilmu pendidikan ini semasa di usia muda agar tidak menyesal di kemudian hari,’’ kata Nazrin Cheong.

Beliau memberikan pesanan berguna ini  kepada 120 pelajar tahfiz pada majlis sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Maahad Tahfiz Al-Ansori, Chemor pada Sabtu. Hadir sama Pengerusi Maahad Tahfiz Al-Ansori, Ustaz Azhari Abu Hassan.

Nazrin menyuntik semangat pelajar berkenaan apabila berkongsi kisah pengalaman pahit manis beliau semasa di usia remaja yang pernah mengambil upah bekerja mencuci pinggan mangkok mengumpul wang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

“Saya bukan berasal dari keluarga senang, saya berasal dari keluarga susah sehingga terpaksa mengambil upah bekerja sambilan untuk mencari wang pembiayaan pelajaran saya.

“Alhamdullah berkat kesungguhan dan ketekunan semasa belajar akhirnya saya berhasil melanjutkan pelajaran ke luar negara dan menjadi seorang insan yang berjaya pada hari ini,’’’ ujarnya.

Menyentuh program hari ini, Nazrin menjelaskan sumbangan kebajikan yang dibuat syarikatnya bukan hanya diadakan pada bulan Ramadan malah pada hari bukan musim sambutan perayaan Aidilfitri.

Katanya, sebagai Pengarah Urusan beliau turut mensasarkan pemberian bantuan dan bimbingan motivasi kepada pelajar-pelajar  dalam kalangan keluarga miskin yang telah dikenalpasti.

Selain sumbangan kepada pelajar Maahad Tahfiz Al-Ansori, beliau turut menyumbang kepada 28 pelajar Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman Manjoi, 25 anak yatim dan 3 warga emas Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Orang Tua Kinta (HAWA). 25 pelajar tahfiz Nur Muhammad Tahfiz Centre, 42 anak yatim Rumah Anak Yatim / Warga Miskin Budi Mulia Nurul Huda Tanah Hitam Chemor dan  59 anak yatim Rumah Anak Yatim Yayasan Amanah An-Nur Maisarah, Chemor.