Nga Kor Ming Kata ‘Hari Bersejarah’, Saarani Kata ‘Paling Buruk Dalam Sejarah’

Reading Time: 2 minutes

SIDANG DUN | ADUN Aulong, Nga Kor Ming berkata Perak mencatat sejarah apabila usul yang dibawa oleh ADUN Pasir Berdamar, Terence Naidu supaya semua wakil rakyat mengisytihar harta kepada Speaker dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diluluskan di dalam Dewan semalam.

“Hari ini dalam sejarah … Dewan Undangan Negeri Perak menjadi yang pertama selepas Dewan Rakyat dan Dewan Negara meluluskan usul khas mewajibkan semua anggota Dewan mengisytihar harta kepada SPRM.

“Syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri dan yang membawa usul. Ini adalah satu kejayaan dan komitmen kerajaan baharu untuk memastikan Malaysia bersih dari ‘najis’ rasuah,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Darul Ridzuan pada Selasa.

Beliau turut menyatakan rasa bangga kerana Perak adalah negeri pertama mewajibkan semua 59 anggota Dewan negeri mengisytihar harta mereka dalam tempoh tiga bulan \bermula hari semalam.

Nga Kor Ming berkata usul itu menepati peraturan Dewan dan perintah tetap di bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 62 dan perisytiharannya dikawal di bawah akta akuan Berkanun. Menurutnya, semuanya jelas dan tiada keraguan langsung tetapi pembangkang hanya mencari alasan untuk menolak usul tersebut.

Merujuk kepada persoalan mengapa perlu isytihar kepada Speaker, Nga kor Ming berkata, pada masa ini tidak ada undang-undang yang mewajibkan anggota Dewan sama ada Parlimen atau DUN mengisytiharkan harta kepada SPRM. Oleh itu, menurutnya, di bawah doktrin pengasingan kuasa, semua wakil rakyat adalah anggota Dewan dan harus akur kepada institusi Speaker. Oleh itu, perisytiharan akan dibuat kepada Speaker dan Speaker akan serahkan kepada SPRM untuk semakan.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad dalam satu sidang media berasingan berpendapat bahawa hari ini adalah yang ‘paling buruk’ dalam sejarah Sidang DUN negeri Perak.

“Speaker dangkal pengetahuannya dalam mengendalikan Sidang DUN mengikut Perintah Tetap.

“Sepatutnya jika ada pindaan yang hendak dibuat terhadap usul, pencadang bertanggungjawab membuat pindaan tetapi itu tidak berlaku sebaliknya Speaker yang mengumumkan pindaan,” katanya.

Beliau menambah sepatutnya selepas usul dibahaskan, harus ada sesi penggulungan dan ia perlu digulungkan oleh pencadang.

“Tidak ada sesi penggulungan tiba-tiba Speaker terus umum di depan kita ada usul dan berkata siapa setuju kata setuju,” kata Saarani.

“Kita pembangkang tidak menolak usul itu cuma yang menjadi persoalan ialah mengapa perlu diserahkan kepada Speaker dan satu salinan diberi kepada SRPM.

“Ini menyalahi konsep doktrin pengasingan kuasa. Kami anggota Dewan Negeri adalah badan legislatif, badan perundangan, kita gubal dasar, kita gubal undang-undang.

“SPRM adalah di bawah badan eksekutif … dia berhak menyemak dan jika didapati ada perkara yang meragukan dia boleh siasat, kalau ada yang boleh didakwa, dia akan dakwa sebab kuasa ada pada dia (SPRM).

“Hari ini jika kita luluskan, bermakna kita bagi kuasa (mendakwa) itu kepada Speaker.. it is wrong,” tegas Saarani.

Beliau menambah kalau sekadar mengisytihar harta untuk mengelak berlaku penyelewengan, sudah memadai dengan akta yang ada pada SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Datuk Saarani mendakwa usul itu dibuat kerana ada perkara yang tersirat iaitu untuk memberi peluang kepada Speaker melihat butiran harta yang dimiliki oleh semua anggota Dewan padahal Speaker tidak terikat kepada mana-mana akta dan dia boleh menyalahgunakan maklumat itu untuk tujuan politik.

“Kerana itu kita tidak bersetuju mengisytiharkan harta kepada Speaker,” jelas Saarani.

Sidang Dewan negeri akan bersambung pagi ini dan hari ini adalah hari terakhir untuk persidangan kali ini.