JOHOR BAHRU, 17 Dis – Jabatan Hidupan Liar Johor menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap ‘buaya tembaga’ yang mungkin didapati di sungai-sungai banjir di sembilan daerah di negeri ini.
Pengarahnya Salman Saaban berkata ini berkemungkinan berlaku memandangkan terdapat populasi buaya di sembilan sungai di negeri ini.
Sungai-sungai ini adalah Sungai Batu Pahat, Sungai Jemaluang dan Sungai Endau (Mersing), Sungai Lebam dan Sungai Sedili (Kota Tinggi), Sungai Muar (Muar), Sungai Pulai (Pulai), dan Sungai Johor dan Sungai Skudai (Johor Bahru).
“Tempat-tempat di mana buaya boleh tersasar adalah longkang-longkang dan terusan.
“Ia akan mencari dan memakan bangkai haiwan yang tenggelam semasa banjir,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Salman berkata sesiapa yang menemui reptilia ini harus menjauhkan diri daripadanya dan memaklumkan kepada jabatan.
“Jangan memprovokasi atau panik kerana ini boleh menyebabkan mereka menjadi agresif.
“Berhati-hati dengan persekitaran untuk mengelakkan pertemuan dengan buaya ini,” katanya.
Banjir baru-baru ini telah menjejaskan lebih 9,000 rumah penduduk di daerah Mersing, Kota Tinggi, Segamat, Kluang, Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru, Muar dan Kulai.
– BERNAMA