PATC Rangka Program Cungkil Bakat Muda Martabatkan Sukan Sepak Takraw

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Kelab Sepak Takraw Perak (PATC) sedang merangka satu program `Perak Idol’ bagi mencungkil bakat pemain-pemain muda di peringkat akar umbi dalam pembangunan sukan sepak takraw.

Menurut Setiausaha Agungnya, Mohd. Syamsi Abd Junid, program ini akan digerakkan bukan sahaja di sekolah-sekolah arus padana malah di sekolah-sekolah agama dan tahfiz.

“Selama ini pendekatan mencungkil pemain muda berbakat ini tidak dibuat di sekolah-sekolah aliran agama, tahfiz tapi sebenarnya di situlah lubuk yang tidak ada orang cungkil benda ini.

“Sekiranya ada penaja-penaja bukan sahaja syarikat Kumpulan Suffy Sdn Bhd untuk memberi satu nafas baru bagi mengerakkan usaha ini, maka kita bersedia untuk mengerakkannya.

“Menerusi program ini kita akan bawa berarak lagenda-lagenda ternama sepak takraw dalam menyemarakkan sukan sepak takraw sebagaimana dibuat pada rancangan hiburan bagi memperkenalkan produk dengan membawa selebriti mereka,’’ katanya.

Mohd Syamsi berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan pakaian rasmi dari segi pengurusan dan juga pemain tajaan syarikat Kumpulan Suffy Sdn Bhd iaitu syariikat pengeluar produk berasaskan susu di Jelapang pada Jumaat.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif syarikat kumpulan Suffy, Sofian Tajuddin, Presiden PATC, Sham Fairuz Haji Sha’rani, Timbalan Presiden, Johari Abu Hassan dan Bendahari, Azemeer Wira Nordin.

Syamsi berkata, pihaknya menzahirkan rasa bangga kerana baru selesai mengadakan kejohanan sepak takraw Piala Tiga Generasi pada 18 Ogos lalu hasil sokongan dan tajaan beberapa syarikat termasuk Syarikat Kumpulan Suffy.

Beliau optimis pembabitan banyak syarikat penaja dapat membantu mempromosikan produk mereka melalui konsep penganjuran kejohanan sepak takraw.