Ahmad Faizal Yakin Hospital Seri Iskandar Diteruskan

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menaruh keyakinan penuh projek-projek untuk kepentingan rakyat seperti Hospital Seri Iskandar mampu diteruskan mengikut kemampuan kewangan kerajaan.

Menurut beliau, pihaknya telah berbincang dengan Kementerian Kerja Raya dengan membawa banyak perkara di peringkat kerajaan negeri Perak.

“Hari ini kami telah berbincang dan banyak perkara yang dapat kita bawa di peringkat kerajaan negeri Perak dan alhamdulillah menteri dan juga kementerian kerja raya positif menerima pandangan daripada kami.

“Kami berharap agar beberapa perkara lain dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Kerja Raya, Baru Bian di Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.

Terdahulu Baru Bian berkata, Kementerian Kerja Raya akan meneliti beberapa projek kritikal yang perlu diteruskan untuk kepentingan rakyat. Katanya, antara projek yang akan dipertimbang untuk diteruskan ialah Hospital Seri Iskandar.

Beliau berkata, pihak kementerian dan kerajaan negeri akan berbincang tentang projek-projek yang perlu diberikan keutamaan memandangkan kerajaan menghadapi kekangan dari sudut kewangan.

“Dalam keadaan yang mencabar ini kita sama-sama berbincang dan saya menerima beberapa komen dan cadangan beberapa projek serta keutamaan yang diberi kepada kerajaan negeri.

“Kita akan sekali lagi kaji semula, jika betul projek ini kritikal dan perlu diteruskan, kita akan berbincang dengan Unit Perancangan Ekonomi dan Kementeri Kewangan supaya bagaimana boleh diteruskan projek ini,” katanya.

Mengenai lawatan kerjanya ke negeri-negeri, Baru Bian menjelaskan ia dibuat untuk mengadakan perbincangan dengan menteri besar dan ketua menteri mengenai projek-projek pembangunan yang perlu diteruskan bagi semua negeri di Malaysia.