Pegawai Kesihatan Daerah Dituduh Rasuah RM800,000

Reading Time: < 1 minute

JOHOR BARU | Pegawai kesihatan daerah dan penolong akauntan hari ini dituduh di mahkamah sesyen dengan 49 pertuduhan rasuah melibatkan lebih RM800,000 antara 2015 dan 2016.

Dr Zaharah Mohd Salleh, 59, dan Noor Shazriena Miskam, 34, mengaku tidak bersalah apabila tuduhan dibacakan kepada mereka secara berasingan, di hadapan hakim Kamarudin Kamsun.

Dr Zaharah dituduh menyediakan baucar pembayaran palsu berjumlah RM807,816.27 kepada Kementerian Kesihatan, yang termasuk pembayaran bagi pembekalan barangan yang melibatkan lima syarikat yang dia tahu adalah palsu dan tidak dibekalkan.

Noor Shazriena didakwa bersubahat dengan Dr Zaharah dalam melakukan kesalahan di bawah Seksyen 28 (1) (c) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 18 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) Akta yang sama .

Mereka didakwa melakukan kesalahan di Pejabat Kesihatan Ledang antara Mac 2015 dan November 2016.

Dr Zaharah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta yang sama.

Tuduhan yang dikenakan bagi tempoh penjara sehingga 20 tahun dan denda, tidak kurang daripada lima kali jumlah rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Suhaili Sapun mencadangkan mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 bagi setiap tertuduh.

Peguam Gan Seong Kim dan Siti Nasrina Hasbullah, yang mewakili Dr Zaharah dan Noor Shazriena, merayu untuk pengurangan jumlah wang dengan alasan Dr Zaharah menderita kanser kolon manakala Noor Shazriena mempunyai lima orang anak untuk ditanggung.

Kamarudin menetapkan ikat jamin RM50,000 untuk Dr Zaharah dan RM60,000 untuk Noor Shazriena, masing-masing seorang penjamin.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport mereka sebelum menetapkan 15 Mac untuk sebutan. – Bernama