UMNO Tidak Akan Menerobos Pintu Belakang – Annuar Musa

Reading Time: 2 minutes

BENTONG, 9 Feb – Setiausaha Agung UMNO (SUA), Tan Sri Annuar Musa berkata UMNO tidak akan menerobos mana-mana ‘rumah’ lain apa lagi ‘pintu belakang’ kerana UMNO akan terus berdepan secara ‘gentleman’.

Jelasnya, UMNO tidak akan menumpang mana-mana kumpulan untuk mendapat kuasa.

“Kita masih lagi dalam perjalananan, mesti sentiasa berupaya dan bukan berada di penghujung jalan, pengujung liga, yang pialanya sudah ada di depan kita.

“Perjalanan kita masih jauh, UMNO tidak akan menerobos mana-mana ‘rumah’ lain apalagi ‘pintu belakang’. UMNO akan terus berdepan secara ‘gentleman’… Muafakat Nasional akan membina mahligai sendiri,” katanya di Institut Latihan Memperkasa Ummah, hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menegaskan UMNO dan PAS tidak akan terhegeh-hegeh menjadi penumpang kepada mana-mana kumpulan sebab UMNO mempunyai ada agenda tersendiri.

“Kita ada dasar dan agenda… kita menentang mereka (PH) kerana mereka ‘kencing’ kepada rakyat dan mereka gubal dasar-dasar yang bercanggah dengan perjuangan. Lebih-lebih lagi yang menyentuh kepentingan orang-orang Melayu, Islam, Raja-raja Melayu dan sebagainya.

“Kita bukan boleh diumpan untuk meninggalkan asas dan perjuangan tetapi pada masa yang sama kita tidak akan gila, fanatik dan kita boleh duduk dan berunding, dengar dan sebagainya,” tegasnya.

Tambahnya lagi, UMNO akan memainkan peranan sebagai pembangkang walaupun sememangnya itu matlamatnya dan UMNO mesti ‘bersemayam’ kembali ke Putrajaya untuk mengabdikan diri kepada rakyat.

“Ini pendirian kita… tidak ada seinci pun kita akan bertolak ansur, apa yang menjadi matlamat dan asas perjuangan UMNO tetap kita mempertahankan sementara kita tidak menjadi kerajaan bukan bermakna kita akan duduk berdiam diri.

“Apa maknanya kalau menjadi kapal besar yang ditebuk dan akhirnya tenggelam. Biarlah jadi orang kecil dan kapal selamat dan sampai ketempat yang kita lakukan pelayaran.

“Usah berbangga kerana kita hanya satu individu mencipta ‘glamour’ hanya kepuasan uuntuk diri sendiri tetapi saf perjuangan menemui keruntuhan dan kegagalan,” bidasnya lagi.

Justeru katanya, perpaduan Melayu belum dapat kita pulihkan sepenuhnya maka ukhwah Islamiyah dikalangan orang-orang Islam perlu diperkukuh.

“Perjalanan masih jauh kerana kita masih lagi gologan minoriti di beberapa negeri tapi tidak semestinya kalah kumpulan yang kecil kepada kumpulan yang lebih besar melainkan dengan izin Allah SWT. Kita tekad, bulatkan keazaman dan berusaha serta selebihnya berserah kepada Allah SWT.

“Tanam dalam diri bahawa perjuangan kita ‘fisabilillah’, tidak akan bergerak solo tetapi akan bergerak dalam satu saf yang tersusun dan tidak akan bercerai berai. Menjaga tertib pergerakan kita dan kawan-kawan dalam perjuangan terutama sekali dalam Muafakat Nasional,” ujarnya.

Dalam masa yang sama beliau berkata Skuad sabil bukannya pasukan keselamatan tetapi sebuah pasukan dalam memperjuangkan UMNO dan mempunyai tanggungjawab yang lebih besar lagi.

“Pergerakan Pemuda perlu mengadakan beberapa susulan tanggungjawab yang lebih besar untuk terus dipikul oleh Skuad Sabil.

Sumber artikel dan foto – UMNO ONLINE