IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menganggap komplot untuk menjatuhkannya seperti mana yang digembar-gemburkan ketika ini sebagai hanya desas-desus dan tiada asas kebenarannya.
Malah katanya, jalinan kerjasama beliau bersama semua ADUN termasuk anggota Exco kerajaan Pakatan Harapan adalah sangat baik ibarat hubungan sebuah keluarga yang harmoni.
Justeru Ahmad Faizal meminta pihak di luar sana supaya menghentikan polemik politik yang tidak berfaedah ini dan sebaliknya memberi kerjasama membantu kerajaan negeri memfokuskan kepada agenda pembangunan dan ekonomi negeri.
“Hubungan kami sangat baik … biasalah ada masanya saya menegur dan saya pula ditegur namun hubungan dan kerjasama dengan semua ADUN dan anggota Exco dalam kerajaan PH ibarat satu ‘happy family’ (keluarga gembira) ,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pagi ini.
Beliau mengulas kononnya wujud komplot mahu menjatuhkannya sekaligus meletakkan pentadbiran kerajaan PH dalam keadaan goyah dan kemungkinan berlaku pilihan raya negeri seperti didakwa oleh pihak pembangkang.
Ditanya pemberita kononnya ada salah seorang Exco dalam barisan Exco PH yang disebut namanya oleh Datuk Saarani dalam satu sidang media di Sungai Siput, Ahmad Faizal berkata beliau tidak mahu komen perkara itu kerana seperti yang dijelaskannya semua itu hanya berupa desas-desus.
“Selagi perkara ini tidak berlaku, saya fikir tidak perlulah saya komen kerana jika ada ‘negotiation’, perjumpaan dan sebagainya, bermakna segalanya tidak menjadi, mengapa saya perlu komen perkara yang tidak terjadi,” katanya.