Penasihat MK Land Puji Pendekatan ‘Peja’ Selalu Lawat Tapak Projek

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu mendapat pujian daripada Penasihat MK Land Holdings Berhad, Tan Sri Datuk (Dr) Mustapha Kamal kerana sentiasa turun padang melihat perkembangan ke tapak-tapak kawasan perumahan yang baru dibina di negeri ini.

Menurut Mustapha, pendekatan yang diambil YAB Menteri Perak ini amat dipuji kerana ia membantu memberi maklum balas kedua pihak di antara kerajaan negeri dan pihak pemaju perumahan berhubung penyelesaian sesuatu projek perumahan yang dilaksanakan untuk kepentingan rakyat.

“Saya merasa amat terharu kerana seorang Menteri Besar turun padang melihat sendiri projek-projek yang telah dijanjikan. Beliau tidak duduk di pejabat sahaja.

“Ia adalah satu pembaharuan yang berbeza dan beliau telah memberi penekanan kepada pembinaan rumah mampu milik … jadi saya sebagai mewakili pemaju dapat menerima feedback.

“Feedback ini mustahak kerana yang buat perancangan ialah YAB Perdana Menteri tetapi pelaksananya ialah pemaju seperti saya. Dengan adanya komunikasi secara direct semasa turun padang ini akan mendatangkan kebaikan kepada semua sehingga matlamat untuk menyediakan rumah mampu milik di Perak insyaAllah akan dapat kita capai,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Lawatan Kerja ke Tapak Projek Klebang Putra dan Meru Perdana, Ipoh pada Rabu.

Sementara itu Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Hajah Felina Mustapha Kamal berkata, sehingga kini MK Land telah membina 45,572 rumah di seluruh negara dimana 69 peratus unit adalah rumah mesra milik.Katanya, daripada 31,224 unit rumah mesra milik itu, di Ipoh sahaja sebanyak 3,962 unit (GDV RM472 juta rumah mesra milik telah diserah kepada pembeli manakala baki 2010 unit (GDV RM331 juta) bakal dimulakan penjualan dan pembinaannya dalam masa terdekat.

Menurut beliau, harga jualan rumah yang telah siap sejak dari tahun 2003 juta telah meningkat antara 30 peratus hingga 50 peratus untuk rumah sekunder atau subsale.