Jangan Lengahkan Permohonan Perumahan – Ahmad Faizal

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Semua pegawai kanan kerajaan yang terbabit dengan urusan permohonan pihak pemaju perumahan disaran mempercepatkan urusan berkenaan demi kepentingan rakyat.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan, proses permohonan yang tertangguh atau lewat akan memberi impak yang tidak baik kepada rakyat.

Justeru, katanya, di bawah kerajaan baharu hari ini kerajaan mahu memastikan memastikan setiap permohonan yang diajukan pihak pemaju dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat dan tidak menelan masa yang terlalu lama.

“Agensi perlu memberi penekanan kepada tidak menunggu pemaju datang kepada agensi tapi agensi perlu proaktif untuk membantu sesuatu projek itu dapat berjalan lancar.

“Sekarang ini proses sedia ada, setiap pemaju perlu ke pejabat majlis untuk mendapatkan sesuatu dan mengambil masa … saya telah meminta para pegawai untuk mereka mengambil langkah proaktif. Jika sesuatu permohonan diterima mendapati ada perkara yang tidak menepati atau ada dokumen yang tidak mencukupi, jangan tunggu mesyuarat akan datang atau perjumpaan dengan pemaju baru nak ambil tindakan.

“Dunia sekarang ni kita ada telefon, kita ada aplikasi Whatsapp dan sebagainya … hu8bungi pemaju, jangan tunggu. Ada pemaju dia dah hantar permohonan dia tunggu keputusan lulus atau tidak. It Will take some time. Saya minta jika agensi nampak apa-apa kekurangan, perlukan maklumat tambahan dan sebagainya, kita perlu hubungi mereka,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis lawatan kerja ke tapak projek Klebang Putra dan Meru Perdana, Ipoh pada Rabu. Hadir sama Penasihat MK Land Holdings Berhad, Tan Sri Mustapha Kamal.

Ahmad Fazal turut menegaskan tiada berlaku lambakan rumah setakat ini di negeri Perak.

Malah katanya, unit-unit rumah yang dibina oleh pihak pemaju perumahan sentiasa mendapat sambutan baik daripada para pembeli.

Beliau penuh yakin terhadap kemampuan MK Land Holding Berhad bersandarkan lawatan kerja hari ini di projek Klebang Putra dan Meru Perdana dimana pembinaan rumah mesra milik rata-rata yang telah dibina oleh syarikat itu lebih banyak berbanding rumah kos sederhana dan rumah kos tinggi.

Beliau turut mengalu-alukan pemaju perumahan lain mengambil langkah seperti MK Land dalam membina rumah mesra milik dengan lebih banyak lagi di negeri ini.

“Saya amat menggalakkan pemaju-pemaju lain untuk bersama-sama kita supaya lebih banyak rumah mesra milik dapat dibina di negeri ini,” katanya.