Pencemaran Air Sungai Rui Tidak Ancam Keselamatan Orang Ramai

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan tahap pencemaran Sungai Rui, Hulu Perak adalah rendah dan tidak mengancam keselamatan orang ramai.

Menurut beliau, ini berdasarkan standard piawaian yang ditetapkan oleh Organisasi Kesihatan Dunia (WHO).

Namun begitu, katanya, kerajaan negeri tetap mengambil serius terhadap penemuan sisa arsenik dalam air Sungai Rui dengan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas (taskforce) bagi mengenalpasi punca pencemaran.

“Isu penemuan sisa arsenik dalam air Sungai Rui telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) dan mesyuarat telah memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengenalpasti punca pencemaran dan mengambil langkah segera bagi mengawal pencemaran,’’ katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita pada sidang media khas mengenai isu pencemaran Sungai Rui di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Haji Zainal Azman Abu Seman.

Ahmad Faizal menambah, kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan perihal keselamatan para penduduk terlibat dan tindakan telah dijalankan untuk mengambil sampel  rambut daripada 300 penduduk Kampung Air Gandar yang mengalami simpton sakit kulit.

“Sampel ini telah dihantar kepada Institut Kajian Perubatan Malaysia (IMR) bagi tujuan untuk analisis bagi mengenalpasti punca penyakit kulit yang dihadapi penduduk terbabit.

“Kita masih menunggu laporan penuh daripada IMR dan sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab, kita perlu memastikan setiap tindakan adalah berdasarkan fakta yang konklusif, supaya tidak berlaku kebimbangan dan suasana panik di kalangan rakyat.’’ Katanya.

Beliau berkata, susulan isu pencemaran air Sungai Rui, kerajaan negeri telah memutuskan untuk membekukan semua aktiviti pembalakan di hulu dan sepanjang Sungai Rui sehingga laporan konklusif hasil daripada semua kajian diperolehi.

Susulan isu pencemaran air Sungai Rui ini juga, kata Menteri Besar, pihak Lembaga Air Perak (LAP) bersedia untuk mengambil penyelesaian tempoh jangka panjang dengan membekalkan air kepada kampung berkenaan daripada loji rawatan air Lawin.

Katanya, ini melibatkan pembinaan paip sepanjang 11.5km termasuk pam LAP.

Ahmad Faizal seteerusnya berkata, berdasarkan kajian yang telah dibuat, arsenik secara semulajadi wujud dalam tanah di daerah Hulu Perak.

Katanya, peningkatan kandungan arsenik dalam air sungai berkemungkinan berpunca daripada aktiviti penerokaan tanah seperti perlombongan bijih, hakisan tanah dan perladangan yang telah berlangsung selama lebih 100 tahun.

“Kajian juga menunjukkan kawasan  Klian Intan yang sememangnya kaya dengan sumber mineral terutamanya bijeh timah.

“Kita juga dimaklumkan bahawa aktiviti 2,000 pendulang berlesen dan aktiviti pendulang haram di Sungai Pahit, dimana tindakan mereka menjalankan aktiviti mencuci bijih timah menggunakan bahan kimia juga turut menyumbang kepada pencemaran Sungai Hitam yang bersambung dengan Sungai Rui.

“Kajian juga mendapati aktiviti perlombongan bijih timah di antara lima hingga enam tahun lalu berkemungkinan menyumbang kepada pencemaran Sungai Rui yang bersambung dengan Sungai Perak.’’ Katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Faizal menegaskan kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menghentikan mana-mana aktiviti ekonomi yang menyumbang secara terus kepada pencemaran alam sekitar di negeri Perak khususnya di sepanjang Sungai Rui.

“Bagaimanapun ia perlu dilakukan dengan cermat dan penuh tanggungjawab supaya tidak menimbulkan keresahan dan keadaan panik di kalangan rakyat,’’ ujarnya.

Katanya, pemantauan dan penguatkuasaan oleh semua agensi terlibat akan dipertingkatkan bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan juga rakyat negeri Perak.

Baru-baru ini Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Dr Aziz Bari berkata, kerajaan negeri mengesan berlaku pencemaran di Sungai Rui dipercayai akibat dari aktiviti perlombongan.

Katanya, berdasarkan hasil kajian sampel air di sungai yang berkeladak itu menemui  bahan logam berat iaitu arsenik.