Polis Perak tidak menerima laporan daripada mana-mana pihak yang terlibat dengan pencarian peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan atau Acap bahawa mangsa telahpun ditemui di luar dari kawasan Gopeng.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid berkata, pihak tertentu tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa sebarang bukti dan fakta kerana ia hanya akan memburukkan keadaan.
“Kita (polis) tidak mahu mana-mana individu tularkan apa-apa perkara tanpa bukti dan fakta sebab ia akan mengguris hati keluarga Acap. Seperti (ada seorang) individu kononya telah membongkar kehilangan Acap dan telah memberitahu polis, itu adalah perkara tidak betul.
“Dia tidak datang kepada polis dan hanya tulis dalam Facebook, tularkan macam itu sahaja, jadi janganlah kita mengeruhkan keadaan dan menjadikan ia lebih kusut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program derma darah sempena Hari Polis ke-212 di Ipoh hari ini.
Semalam, seorang individu memuat naik status mengatakan beliau dan rakan-rakan yang terlibat dalam misi mencari Acap telah menemui jawapan kehilangan pemuda dari Muar, Johor itu dan mendakwa ia telah diserahkan kepada wakil Ketua Polis Daerah dan hanya menunggu pengumuman rasmi oleh pihak berkuasa.
Razarudin berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan mengenai kehilangan Acap dan telah merakam percakapan lebih tujuh individu termasuk anggota keluarga, rakan serta penganjur.
“Selain melakukan operasi mencari dan menyelamat, polis turut melakukan siasatan sekiranya wujud unsur khianat bagaimanapun hasil semakan telefon, bank dan kereta masih lagi macam tidak terusik dan tiada yang menjurus kepada khianat.
“Operasi ini bukan dalam skala besar tapi kita cuba cari di tempat lain yang diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Yahya Abd Rahman, kekuatan anggota belum diketahui lagi,” katanya.
Acap adalah salah seorang peserta acara Gopeng Ultra Trail 2019 yang diadakan di Gua Tempurung, Gopeng Perak pada 23 Mac 2019.
Sekitar pukul 2 petang pada hari tersebut, semua peserta telah menamatkan acara tetapi hanya Acap seorang tidak kelihatan.
Rakan-rakannya serta pihak penganjur telah mengadakan pencarian di sekitar kawasan laluan denai tempat acara itu diadakan tetapi gagal menemui Acap. Mereka akhirnya memuat laporan polis tentang kehilangan Acap pada pukul 1 pagi di Balai Polis Gopeng.
Gerakan mencari secara intensif dijalankan keesokan harinya namun sehingga ke hari ini Acap masih belum ditemui.