Pencemaran Pantai Cermin Berpunca Dari Minyak Enjin Kapal

  •  
  •  
  •  
Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN (BERNAMA) | Keputusan analisis sampel yang diambil dari lokasi pencemaran tumpahan minyak di Pantai Cermin, Port Dickson dekat sini dikenal pasti sebagai minyak mineral mentah daripada enjin kapal.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S.Veerapan berkata, keputusan itu diperoleh pada 23 Okt lepas, hasil analisis tiga sampel cecair separa pepejal berwarna hitam yang diambil di kawasan persisiran pantai tersebut.

“Kita telah serahkan keputusan sampel itu kepada Jabatan Laut Malaysia (JLM) untuk memeriksa setiap kapal dan memastikan punca (minyak) itu daripada kapal yang mana.

“JLM kini masih menyiasat, tetapi bahan itu dikenal pasti sebagai minyak enjin kapal,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang media khas situasi COVID-19 Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan sedang menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang mana tiada seorang pun boleh melupuskan apa-apa buangan terjadual di darat.

Pada 12 Okt lepas, media melaporkan kawasan persisiran Pantai Cermin sejauh dua kilometer didapati tercemar dengan tumpahan minyak dan insiden itu mendapat perhatian Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang meninjau lokasi berkenaan pada 13 Okt lepas.