Peniaga Dikompaun Kerana Guna Pencuci Lantai Untuk Pelanggan

Reading Time: < 1 minute

Seorang peniaga di Jempol, Negeri Sembilan didenda RM1,000 kerana menyediakan pembersih lantai dan bukannya pembersih tangan kepada pelanggan.

Menurut Bernama, kesalahan itu dikesan oleh pihak berkuasa yang memeriksa kepatuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) melalui ‘Ops Pematuhan’.

Dalam satu kenyataan pada hari Selasa, 3 November, Timbalan Ketua Polis Jempol DSP Mohd Hafiz Muhammad Nor mengatakan bahawa pemeriksaan dilakukan oleh polis dengan agensi lain, termasuk Pejabat Kesihatan Daerah Jempol dan Majlis Daerah Jempol.

Menurut Mohd Hafiz, peniaga itu mendakwa bahawa pencuci lantai boleh membunuh lebih banyak kuman daripada pembersih tangan, dan juga merupakan pilihan yang lebih murah.

“Tindakan ini sama sekali tidak dapat diterima kerana boleh menimbulkan masalah kepada orang yang menggunakannya,” kata ketua polis, seperti dipetik oleh Sinar Harian.

Dalam operasi yang sama, Mohd Hafiz menambah bahawa pasukannya mengeluarkan empat lagi kompaun kepada peniaga di sekitar Bahau, Bandar Seri Jempol, dan Batu Kikir.

“Antara kesalahan lain yang dikesan ialah tidak memakai pelitup separuh muka, tidak mendaftarkan pelanggan yang masuk, tidak menyediakan buku log pendaftaran pelanggan, dan tidak mengehadkan jumlah pelanggan yang masuk ke premis,” katanya.

Ketua polis mengatakan bahawa pihak berkuasa akan terus melakukan Ops Pematuhan di seluruh daerah untuk memastikan orang ramai, termasuk peniaga, mematuhi semua SOP yang ditetapkan.