Penerbangan Ipoh – Guangzhou Bermula November Ini

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Syarikat penerbangan Charter, Scanda Sky kini dalam fasa terakhir bagi menyempurnakan perkhidmatan penerbangan Kuala Lumpur – Ipoh – Guangzhou, China.

Jadual penerbangan, harga tiket dan urusan pembelian secara dalam talian akan diumumkan di laman web rasmi Scanda Sky yang akan dilancarkan pada pertengahan Oktober ini.

Demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, YB Tan Kar Hing hari ini.

“Saya dimaklumkan oleh pihak syarikat setelah mengambil kira segala aspek komersial, penerbangan akan mula beroperasi pada minggu pertama bulan November 2019.

“Salah satu faktor yang diambilkira adalah bulan Oktober adalah Bulan Nasional negara China, oleh itu kapasiti penggunaan Lapangan Terbang Guangzhou Baiyun, China menghadapi kesesakan semasa tempoh itu,” menurut Tan Kar Hing.

Beliau mewakili kerajaan negeri Perak turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Scanda Sky kerana komited dalam menjayakan penerbangan tersebut dan memberi jaminan akan memberi sokongan serta kerjasama merealisasikan penerbangan itu yang dinanti-nantikan sejak sekian lama oleh rakyat negeri Perak.

Scanda Sky pada bulan Mei tahun ini telah menandatangani MoU bersama Malaysia Airlines Berhad (MAS) bagi mengadakan penerbangan Kuala Lumpur – Ipoh – Guang Zhou, China di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).