Peguam Negara Mesti Letak Jawatan – Saarani

Reading Time: < 1 minute

Peguam Negara mesti meletak jawatan setelah beliau didapati menghina mahkamah apabila mengeluarkan satu afidavit yang menyatakan pendirian beliau terhadap kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim ketika inkues sedang berlangsung.

Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang DUN Perak, Dato’ Saarani Mohamad di laman sosial rasminya hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata, ini bukan kali pertama Peguam Negara itu terbabit dalam kontroversi yang menyebabkan sistem keadilan negara dipersoalkan.

“Rakyat masih tertanya-tanya kenapa kes-kes yang melibatkan pemimpin kerajaan digugurkan dan disenyapkan — kes banglo, terowong, penghinaan oleh individu pro-PH kepada institusi Raja-Raja Melayu, kes dadah yang melibatkan anak Menteri — manakala kes-kes mereka yang pro-pembangkang cepat diambil tindakan,” kenyataan itu dipetik.

Kata Saarani lagi, rakyat semakin sangsi dengan keupayaan beliau menegakkan keadilan undang-undang dan penghakiman oleh Yang Arif Hakim Koroner menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan ‘Peguam Negara’.

“Oleh itu, Tan Sri Tommy Thomas perlu meletakkan jawatannya dengan segera atau dipecat bagi memastikan kedaulatan undang-undang di negara ini terjamin,” Saarani dipetik dalam kenyataannya itu.