Bakal Jururawat UniKL RCMP Gembira Sertai Program Pelajar Angkat

  • 221
  •  
  •  
Reading Time: 2 minutes

Oleh: Dr. Kamarul Afendey Hamimi & Ibrahim Ahmad

SUNGAI SIPUT- Berbekalkan semangat ingin merasai suasana kehidupan di kampung, seramai 22 orang pelajar Diploma Kejururawatan Semester 6, UniKL RCMP Ipoh, Perak telah menganjurkan Program Pelajar Angkat dan Khidmat Masyarakat di Kampung Trosor, Sungai Siput baru-baru ini.

Pelbagai acara telah disusun bermula dari 14 hingga 16 September 2019. Menurut Pensyarah Penasihat, Dr. Kamarul Afendey Hamimi, program ini bukan sahaja mengukuhkan jaringan pihak universiti dengan masyarakat, malah merupakan pendedahan awal pelajar menimba pengalaman bersosial.

“Saya bagi pihak UniKL RCMP Ipoh, ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Sekolah Kebangsaan Trosor, Yayasan Perak, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan semua penduduk yang menyokong serta menjayakan program ini. Saya amat berharap program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Seramai 16 orang pelajar Tahun Lima SK Trosor telah dipilih menjadi adik angkat kepada pelajar-pelajar UniKL RCMP. Selain memberi pendedahan penjagaan kesihatan dan pertolongan cemas serta kebersihan, acara sukaneka turut diadakan antara pelajar dengan penduduk serta pelajar sekolah terlibat.

“Kami juga mengadakan pemeriksaan kesihatan dan menziarahi penduduk yang kurang sihat. Ini adalah suatu pengalaman baharu dan menyuntik semangat kami untuk berkhidmat sebaik mungkin setelah tamat pembelajaran nanti,” kata Mohamad Fazlin Zulkifli yang juga merupakan pengarah projek ini.

Sementara itu, Encik Saridan Zahari, Pengerusi MPKK Tali Api rasa berbangga dengan penganjuran program tersebut dan berharap dapat diteruskan pada masa akan datang. Sebelum itu, beliau turut menyampaikan bantuan barangan dapur kepada penduduk yang kurang bernasib baik.

Kemuncak program ini, pelajar Unikl dan adik angkat berpeluang terlibat menjayakan Karnival Le Tour De Trosor yang dianjurkan oleh Kelab Anak Rantau Trosor, MPKK Tali Api dan juga MPKK Trosor. Seramai 204 orang peserta menyertai Fun Ride Le Tour De Trosor 2019 dan mendapat kerjasama pelbagai agensi iaitu, pejabat kesihatan daerah, bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Kolej Komuniti Sungai-Siput, Syarikat Adabi. Karnival ini turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan gubahan buah-buahan dan juga pertandingan memasak.

Perasmian karnival disempurnakan oleh YB. Hasnul Zulkarnain bin Abdul Munaim, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia & NGO Negeri Perak. Turut hadir bersama YB Kesavan a/l Subramaniam, Ahli Parlimen Sungai Siput, wakil pegawai Pejabat Exco Belia dan Sukan Negeri Perak, Pegawai Daerah, Ketua Polis Sungai-Siput, ketua-ketua jabatan kerajaan dan juga swasta.