IPOH: Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, Perak akan memanfaatkan sepenuhnya peluang kepakaran dalam bidang bioteknologi menerusi kerjasama antara Perak dengan Cuba.
Menurut beliau, memandangkan setakat ini tiada sebarang kerjasama dan pelaburan di antara Perak dengan Cuba maka hubungan kerjasama itu perlu dijalinkan.
“Cuba kini sudah semakin terbuka dari segi ekonomi jadi kita sendiri mencari laluan untuk pelaburan malah mereka mempunyai kepakaran dalam bioteknologi.
“Kita boleh fikirkan idea bagi menghantar kepakaran ini untuk bekerjasama dengan pihak kita,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Duta Besar Cuba ke Malaysia, Ibete Fernández Hernández di pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Jumaat.
Ahmad Faizal berkata, bidang bioteknologi dan pelaburan merupakan antara beberapa perkara yang dibincangkan selama hampir sejam dalam pertemuan antara beliau dengan Duta Besar Cuba itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal turut menjelaskan pertempuan hari ini membuka ruang kedua-dua pihak berkongsi idea dan buah fikiran mengenai pelbagai perkara termasuk mengeratkan hubungan Malaysia dan Cuba.
Ibete pula berkata, kunjungan kali kedua beliau ke Perak untuk mengenalpasti peluang bagi pelaburan di negeri ini selain memperkukuhkan hubungan dua hala.
“Sudah masanya Cuba begerak ke hadapan dan bekerjasama di sektor yang berpotensi dan memberikan kebaikan serta faedah kepada kedua-dua pihak yang mana Cuba mempunyai kekuatan dari segi bioteknologi,” katanya.
Katanya lagi, meskipun tidak pernah menjalinkan hubungan pelaburan di Perak, Cuba berminat untuk berkongsi kepakaran berkaitan dengan kajian rawatan diabetes dan kanser.
“Cuba tidak pernah menjalinkan pelaburan tetapi ada agensi di Cuba pernah bekerjasama dengan universiti di Malaysia dengan melakukan beberapa penyelidikan berkaitan dengan kajian vaksin dan ubatan,” katanya.
Sementara itu pada sidang media yang sama Ahmad Faizal meminta orang ramai supaya tidak menularkan berita yang tidak sahih berhubung bunyi letupan yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Perak khususnya di Ipoh, semalam.
Menurut beliau, penularan berita yang tidak sahih boleh mengelirukan dan menakut-nakutkan masyarakat di negeri ini.
“Saya minta orang ramai jangan terlalu mudah untuk menularkan berita-berita tidak sahih yang tidak mendapat pengesahan daripada pihak kerajaan kerana ini akan memberi satu gambaran keadaan negara yang tidak selamat.
“Kerajaan negeri akan mengumumkan sekiranya mendapat maklumat yang benar-benar tepat dan setakat ini keadaan di negeri ini terkawal dan rakyat tidak perlu bimbang,” katanya.