Perak Giat Pulihara Hutan Bakau Musnah Akikat Pencerobohan Haram

Reading Time: < 1 minute

SIDANG DUN | Kerajaan Perak sedang giat melaksanakan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya bakau yang musnah akibat pencerobohan haram.

Menurut Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3.22 juta kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak bagi menjalankan kerja-kerja tersebut yang melibatkan kesemua spesies pokok di pesisir pantai bagi tempoh 2016 sehingga 2019.

Katanya, antara program yang dijalankan ialah kawalan perosak, rawatan semula dan penanaman pokok bakau di negeri ini bagi tempoh sama.

“Sehingga kini sebanyak 6.06 juta anak pokok bakau telah di tanam di kawasan seluas 1,498.71 hektar di Perak.

“Rancangan Kerja Hutan Paya Laut Matang bagi tempoh 2010 – 2019 kini berada di peringkat akhir pelaksanaannya.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri sedang giat melaksanakan satu penyediaan Rancangan Kerja Hutan Paya Laut Matang bagi tempoh 10 tahun akan datang bermula pada tahun 2020,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria (Batu Kurau-BN) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Jumaat.

Menurut Menteri Besar, bagi tahun ini, sebanyak tiga kes penebangan hutan secara haram dan dua kes kesalahan hutan yang melibatkan kawasan paya laut telah dikesan berlaku.

Katanya, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri akan mengambil tindakan undang-undang kepada perkara berkenaan.

 Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang turut menjelaskan kawasan hutan paya laut di Perak seluas 42,214.34 hektar yang mana masing-masing 49,521.19 hektar di bawah pentadbiran Pejabat Hutan Daerah Larut dan Matang manakala 1,695.15 hektar pula di bawah pentadbiran Pejabat Hutan Daerah Kinta/Manjung.