Perak Rancang Letak CCTV di Lokasi Strategik

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Kerajaan Perak sedang merangka perancangan dan mengenal pasti lokasi yang bersesuaian bagi meletak kamera litar tertutup (CCT) dalam usaha mengekang isu sampah haram secara tuntas.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, perkara itu bukan sahaja memberi impak dalam menyelesaikan isu berkenaan malah memastikan aspek keselamatan terjamin.

Saya rasa di kebanyakan kawasan termasuk di dewan undangan negeri (DUN) Menglembu banyak cadangan untuk diletakkan CCTV bagi memantau aktiviti sampah haram dan keselamatan secara keseluruhan.

“Di kawasan Majlis Bandaraya Ipoh khususnya memang ada perancangan untuk kita tambah baik kemudahan awam dengan pemasangan CCTV.

“Buat masa ini kami dalam fasa perancangan untuk mengenal pasti lokasi terperinci dan sesuai untuk diberi keutamaan,’’ katanya semasa menjawab soalan tambahan Chaw Kam Foon (DAP-Menglembu) pada Sidang DUN Perak ke-15 pada Rabu.

Menjawab soalan Hafez Sabri (PAS-Manjoi) mengenai keperluan untuk menyediakan tong sampah roll on roll off dalam usaha mengekang kegiatan sampah haram, beliau berkata perkara itu akan dipertimbangkan.

Sandrea menjelaskan setakat ini PBT telah melaksanakan kutipan sampah secara berkala, bagaimanapun masih ada yang kurang peka tentang perkhidmatan pengumpulan sampah pukal lain.