Perak Ulangi Pendirian Sambut Baik Royal Belum Diiktiraf UNESCO

Reading Time: 2 minutes

KUALA KANGSAR: Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu mengulangi pendirian kerajaan negeri bahawa cadangan agar Taman Negeri Royal Belum diiktiraf oleh UNESCO adalah satu perkara yang baik untuk negeri ini dan amat dialu-alukan.

Beliau juga menjelaskan laporan sebuah portal dengan tajuk mengelirukan kononnya kerajaan negeri tidak menyokong atau berminat dengan cadangan agar Taman Negeri Royal Belum diiktiraf oleh UNESCO kerana takut kehilangan pendapatan melalui hasil hutan adalah tidak tepat.

Menurut Ahmad Faizal, laporan portal yang diterbitkan semalam telah mewujudkan satu persepsi yang tidak baik terhadap kerajaan negeri Perak.

“Apa yang saya sebutkan ialah ia cadangan yang amat baik dan kerajaan negeri sedang mencari jalan untuk mendapatkan hasil kepada negeri tanpa menebang sebatang pokok pun untuk memelihara taman negeri itu.

“Kita perlu jana sedikit pendapatan untuk menjaga taman negeri berkenaan yang begitu luas, hampir empat kali ganda saiz Singapura, sekarang ini pun kita dapat menjana sedikit daripada caj yang terlalu minima kepada pengunjung, sepatutnya mungkin dinaikkan sedikit.

“Jadi saya tidak kata langsung seperti laporan yang mengatakan kalau dijadikan tapak UNESCO (kerajaan negeri) tak suka kerana tak dapat pendapatan kepada negeri,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri Perak menyambut baik dan mengalu-alukan cadangan itu.

“Malah jika ia dijadikan tapak warisan UNESCO, ia akan membuka mata ramai pihak untuk ke Royal Belum,” katanya.

Ahmad Faizal semasa bercakap pada satu sidang media di Ipoh semalam berkata, kerajaan negeri masih mempertimbangkan hasrat Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk menjadikan Taman Negeri Royal Belum sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO kerana wujudnya beberapa kekangan yang perlu dihadapi sekiranya ia direalisasikan.

Antara kekangan berkenaan adalah sumber kewangan untuk memelihara dan memantau taman negeri itu bagi mengelak penerokaan balak haram dan pemburu haram.

Ditanya mengenai isu penganjuran pertandingan memancing di Pantai Pasir Panjang, Segari, beliau berkata, pihak penganjur telah diminta supaya menukarkan lokasi pertandingan dengan mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak Majlis Perbandaran Manjung.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kelestarian taman negeri. Beliau mengulas penolakan kebenaran penganjuran pertandingan memancing di Pantai Pasir Panjang Segari oleh pihak Majlis Perbandaran Manjung baru-baru ini.

“Surat sokongan yang dikeluarkan oleh Datuk Zainol dan mungkin beliau tidak menyedari pertandingan itu akan dianjurkan di dalam kawasan taman negeri,” jelas Ahmad Faizal.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memaklumkan kebenaran tidak dapat diberikan kerana ia berada dalam kawasan taman negeri…Maka saya akan meminta Datuk Zainol berbincang dengan penganjur untuk menukar pertandingan ke lokasi lain,” katanya.

“Kalau pun penganjur dah ambil wang penyertaan, itu perkara kedua, kita perlu ambil keputusan yang betul untuk selamatkan taman negeri, kalau penganjur enggan bayar balik yuran penyertaan boleh datang kepada saya…saya sendiri akan gantikan,” katanya.

Tindakan pihak penganjur untuk mengadakan pertandingan memancing didapati tidak sesuai kerana Pantai Pasir Panjang Segari merupakan kawasan pemeliharaan penyu dan kemungkinan akan tercemar dan mengancam habitat hidupan penyu di kawasan berkenaan.