Penganjur Memancing Berkeras Tetap Adakan Pertandingan Di Pasir Panjang

Reading Time: 2 minutes

Penganjur pertandingan memancing di pantai Pasir Panjang berkeras tetap akan mengadakan acara walaupun telah mendapat bantahan dan tidak mendapat kebenaran dari pihak berkuasa.

Menurut lontaran di ruang Facebook peribadi penganjur, menyatakan bahawa acara akan tetap diteruskan walaupun sebanyak mana masalah yang mendatang. Turut diselitkan ialah gambar longgokan baju yang telah siap ditempah untuk digunakan dalam acara tersebut.

Acara yang menawarkan hadiah lumayan wang tunai sebanyak RM30,000 untuk pemenang pertama itu bakal diadakan pada hujung minggu ini 14 Oktober 2018.

Mereka mendakwa telah mendapat ‘kelulusan’ dari pentadbiran kerajaan negeri Perak padahal apa yang diperolehi hanyalah surat sokongan dari penasihat Menteri Besar, Dato Zainol Fadzi Paharuddin.

Pihak Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dalam satu surat bertarikh 3 Oktober 2018 telahpun menyatakan bahawa permohonan untuk penganjuran acara memancing di kawasan pantai Pasir Panjang Segari tidak dapat dipertimbangkan. Surat itu juga menyatakan bahawa kawasan berkenaan merupakan zon Sensitiviti Alam Sekitar Tahap 1 dimana sebarang aktiviti  memancing di kawasan berkenaan adalah tidak bersesuaian. Malah kawasan tersebut juga adalah lokasi pemeliharaan penyu dan sebarang penganjuran aktiviti dikhuatiri akan mencemarkan kawasan tersebut.

MPM dalam pada itu telah mencadangkan satu kawasan lain bersebelahan dengan pantai Pasir Panjang sebagai kawasan alternatif untuk penganjuran acara tersebut.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu semalam dalam kenyataannya memberitahu bahawa penganjur telah diberitahu supaya mematuhi arahan MPM dan menukar lokasi penganjuran pertandingan di kawasan lain. Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kelestarian Taman Negeri.

“Surat sokongan yang dikeluarkan oleh Datuk Zainol dan mungkin beliau tidak menyedari pertandingan itu akan dianjurkan di dalam kawasan Taman Negeri,” jelas Ahmad Faizal.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memaklumkan kebenaran tidak dapat diberikan kerana ia berada dalam kawasan taman negeri…Maka saya akan meminta Datuk Zainol berbincang dengan penganjur untuk menukar pertandingan ke lokasi lain,” katanya.

Dalam pada itu, pertubuhan pemulihara alam sekitar, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Aktivis Alam Sekitar (KUASA) akan membuat laporan polis di IPD Manjung pada esok dalam usaha untuk menghalang penganjur dari terus mengadakan acara di kawasan itu.