Perisytiharan Keluar Parti Tidak Gugat Kekuatan Parti

Reading Time: < 1 minute

Perisytiharan keluar parti oleh sebilangan kecil anggota parti Keadilan di sebuah hotel di Ipoh petang tadi tidak beri kesan kepada kekuatan parti, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Perak.

Kenyataan itu menyebut bahawa perkara tersebut tidak langsung memberi impak kepada kekuatan parti di peringkat akar umbi kerana bilangan itu jika dibandingkan dengan keanggotaan parti di Perak berjumlah lebih 70,000.

Pengerusinya, Farhash Wafa Rizal Mubarak berkata pada minggu ini sahaja pihak majlis pimpinan Keadilan negeri Perak telah menerima pertambahan ahli sebanyak 700 orang.

“Berikutan tindakan ahli parti KEADILAN yang telah membuat keputusan untuk meninggalkan perjuangan reformasi kita, saya harap mereka sedar pengkhianatan mereka adalah kepada rakyat Malaysia.

“Saya lebih cenderung melihat perkara ini sebagai gerakan pembersihan parti dari golongan munafik yang sanggup menggadai diri,” ujar Farhash.