Perkampungan Terbesar Masyarakat India Diwujud di Bemban

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Jika Perak berbangga mempunyai perkampungan Melayu terbesar di Gugusan Manjoi, kini kerajaan negeri pula akan mewujudkan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) terbesar di Bemban.

Sebaik mengambil alih pentadbiran kerajaan baharu, Pakatan Harapan Perak terus mengutamakan kepentingan masyarakat kaum India apabila memberi khabar gembira buat 144 penduduk Kampung Chekedi di Buntong apabila nama mereka mungkin terpilih sebagai peserta bagi fasa pertama rancangan itu.

Bagaimanapun keputusan sama ada nama mereka terpilih atau tidak bergantung kepada bantahan awam terhadap senarai nama yang akan dipamerkan di Pusat Khidmat ADUN Buntong bermula 20 Jun hingga 5 Julai ini. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Masyarakat Sivil, Orang Asli, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Pengguna, YB A.Sivanesan, senarai nama peserta itu dipamer untuk bantahan awam bagi memastikan hanya yang benar-benar layak berhak memiliki tanah lot itu.

Beliau berkata, mereka yang ditawarkan merupakan penduduk berbangsa India yang kini menetap di Kampung Chekedi di Buntong hampir 40 tahun.

“Kesemua 144 peserta ini merupakan peserta fasa pertama daripada tiga fasa yang melibatkan kawasan perkampungan seluas 36.25 hektar yang merupakan perkampungan India terbesar di Malaysia,” katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa. Hadir sama pada sidang media itu Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, S. Sivasubramaniam.

Menurut Sivanesan, fasa pertama melibatkan 817 lot yang terdiri daripada dua saiz iaitu ’45×60′ dan ’60×80′. Sehubungan dengan itu, beliau meminta peserta menyediakan wang berjumlah RM 700 sebagai kos penyelenggaraan ukur tanah sebelum layak mendapatkan hak milik yang akan dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Batu Gajah nanti.

“Peserta boleh datang ke Pusat Khidmat ADUN Buntong untuk memastikan sama ada nama mereka ada dalam senarai yang dipamerkan,” katanya.

Sivanesan turut menegaskan bahawa kerajaan baharu ini akan bertindak tegas dalam memastikan hanya mereka yang layak mendapat hak menduduki lot berkenaan.

“Jika terdapat keraguan dalam kalangan peserta yang dikesan tidak sepatutnya layak, nama mereka akan digugurkan untuk berikan peluang kepada peserta yang layak,”katanya.