Ops Selamat Tumpu Kawasan Panas

Reading Time: 2 minutes

Ops Selamat sudah bermula sejak malam tadi. Dalam operasi di kawasan plaza tol Ipoh Selatan semalam, yang melibatkan 10 pegawai dan 25 anggota polis trafik kontinjen Ipoh.

Operasi ini mensasarkan kenderaan perdagangan seperti bas dan lori. Fokus operasi adalah untuk mencegah perkara-perkara yang boleh menyumbang kepada kemalangan jalanraya. Antara perkara yang diteliti ialah keadaan fizikal kenderaan sama ada menepati ciri-ciri keselamatan dan memeriksa dokumen-dokumen seperti lesen memandu, cukai jalan dan sebagainya.

Pemandu bas dan lori diarah menjalani ujian urin dan setakat pukul 11.30 malam tiada pemandu didapati positif dadah. Antara jenis kesalahan yang ditemui ialah lesen memandu tamat tempoh, meletak kayu di bawah badan lori tanpa diikat, tiada papan segitiga isyarat kenderaan rosak, lampu hadapan dan kenderaan awam yang menggunakan lampu putih turut disaman.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Perak, Superintenden Ahmad Adnan bin Basri, selain operasi malam tadi, pihak polis telah memulakan operasi pemeriksaan ke atas motorsikal sejak 8hb Jun yang lalu dan sehingga 11hb Jun, sebanyak 956 saman telah dikeluarkan terhadap penunggang motorsikal kerana pelbagai kesalahan.

Motorsikal diberi penekanan yang lebih kerana ia menyumbang kepada jumah kemalangan maut yang tinggi.

Ops Selamat bermula sejak 8hb Jun dan berakhir pada 22hb Jun ini. Selama dua minggu, kontinjen trafik Ipoh akan memantau dan menumpukan kepada pemeriksaan yang lebih kerap di kawasan-² yang kerap berlaku kemalangan maut.

“Di Perak ini terdapat lebih kurang 14 kawasan yang kerap berlaku kemalangan maut yang telah dikenlapasti iaitu daerah Muallim 1, Taiping 3, Manjung 5, Hilir Perak iaitu Teluk Intan 1 dan Gerik 4. Manakala kawasan yang kerap berlaku kemalangan, di Ipoh ada 4, Taiping 3, Selama 1, Batu Gajah 1, Hilir Perak 3, Manjung 5, Muallim 1, Sungai Siput 4, Tapah 2, Kuala Kangsar 3, Perak Tengah 2, Pengkalan Hulu 1. Gerik 14, Kampar 4 dan Kerian 4.

“Di semua lokasi tersebut, kami telah meletakkan anggota untuk memantau bagi memastikan tiada kemalangan berlaku sepanjang tempoh Ops Selamat berjalan.” tambah Adnan.