Persatuan Agensi Pelancongan Pertikai Kelulusan Nama Oleh Pendaftar Pertubuhan

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR | Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) yang sudah bermula dicemari oleh pertikaian antara persatuan agensi pelancongan yang mendakwa mereka memiliki hak terhadap nama persatuan yang mempunyai bunyi yang sama tetapi ejaan berlainan.

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) yang terkenal dengan penganjuran pesta pelancongan tahunannya kini mempunyai saingan yang mempunyai sebutan akronim yang sama iaitu MATA, lapor Bernama.

MATA merujuk kepada Persatuan Agensi Pelancong Malaysia yang baharu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak disenangi oleh Matta kerana mendakwa sebutan yang sama akan hanya menimbulkan kekeliruan.

Setiausaha Agung Matta, Nigel Wong dalam satu kenyataan berkata Matta akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pertubuhan yang baharu daftarkan itu dan telah mengeluarkan surat tuntutan atas dakwaan MATA telah menceroboh  nama dan tanda niaga Matta dan menuntut agar MATA menghentikan perbuatan itu.

Wong berkata Matta juga meminta penjelasan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengenai kelulusan pendaftaran MATA.

Beliau berkata ini kerana RoS mencatatkan lima daripada pengasas dan pemegang jawatan semasa MATA juga merupakan pemegang jawatan semasa Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), dan dua daripada Majlis Pelancongan Malaysia.

Pada 11 Sept, 2014, Matta mengadakan mesyuarat agung luar biasa yang mengundi untuk menyingkirkan  kesemua lima pemegang jawatan tersebut kerana menyebabkan kerosakan moral dan material kepada Matta, “katanya.

Sehingga kini, Matta yang mencecah usia 45 tahun mempunyai lebih  3,600 ahli  yang terdiri daripada agensi pelancongan dan pengusaha pelancongan yang dilesenkan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.