Reading Time: < 1 minute
IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Prof. Dr Aziz Bari berkata, cerita undi tak percaya adalah satu fenomena `takut kepada bayang-bayang sendiri’.
Menurut beliau, UMNO perlu sedar mekanisme untuk mengadakan pilihan raya tak semudah itu.
“Pakatan Rakyat dan sekarang Pakatan Harapan patuh kepada `rule of law’ dan tidak melakukan perkara-perkara yang melanggar undang-undang.
“UMNO perlu cermin diri sendiri, mereka kurang Adun dan ada dakwaan sogokan yang tiada tindakan diambil sampai sekarang.
“UMNO boleh lapor kepada SPRM sekiranya ada bukti, UMNO perlu sedar SPRM di bawah Pakatan Harapan tidak sama dengan SPRM di bawah UMNO-BN,” katanya dalam satu kenyataan kepada Independent.my pada Selasa.
Aziz menegaskan soal disiplin lebih baik UMNO cermin diri, contohnya dalam isu negara Islam di mana bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib disanggah oleh menteri-menterinya sendiri.
“Bahkan Pak Lah pernah diugut oleh menteri-menterinya sendiri pada 2004,” ujarnya.