PICC Perak Desak Tan Sri Kenneth Eswaran Letak Jawatan Segera

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Tan Sri Kenneth Eswaran didesak meletak jawatan segera atas dakwaan penyelewengan membabitkan wang tabung gabungan dewan berkenaan.

Desakan itu dibuat Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Perak (PICC), Haji Sultan Abdul Khader.
“PICC Perak merupakan Dewan pertama yang membuat desakan ini dan akan diikuti negeri-negeri lain selepas ini,’’ katanya kepada pemberita di Bangunan PICC, Ipoh pada Sabtu. Hadir sama bekas Presiden PICC Perak, Kseven Munusamy dan ahli-ahli majlis Dewan berkenaan.
Haji Sultan mendakwa sejak 2008, MAICCI dibawah teraju dan kepimpinan Tan Sri Kenneth tidak membawa sebarang perubahan kepada komuniti peniaga India di Malaysia.
“Bukan menjadi satu rahsia lagi kebanyakkan wang yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan kepada tabung MAICCI didakwa telah disalahgunakan selain salah laku yang dikesan berlaku di dalam MAICCI,’’ ujarnya.
Beliau juga mendakwa Tan Sri Kenneth terlibat secara langsung dalam kegiatan politik dengan bekas Perdana Menteri bagi kepentingan agenda politiknya selain kepentingan perniagaannya yang ternyata bercanggah dan bertentangan dengan konstitusi MAICCI.
Menurut Haji Sultan lagi, semasa kepimpinan Tan Sri Kenneth sejak 2008 ramai peniaga India menjadi mangsa kerana dipercayai beberapa kontrak kerajaan sebelum ini yang dianugerahkan kepada MAICCI melalui Kenneth dibuat tanpa dirujuk kepada PICC negeri-negeri.

Beliau mendedahkan pada 2013, MAICCI telah diperuntukkan pihak berkuasa untuk mendapatkan 40,000 pekerja asing untuk bekerja dengan ahli-ahli perniagaan India diseluruh negara namun tiada suatupun PICC yang mendapat manfaatnya.
“Akibatnya ramai perniagaan masyarakat India seperti pengusaha restoran terjejas teruk sehingga terpaksa menutup perniagaan mereka,’’ katanya.
Haji Sultan melahirkan rasa gembira di bawah pentadbiran Perdana Menteri baharu, Tun Mahathir Mohamad apabila ketegasan dalam soal perundangan diberi penekanan serius terhadap mana-mana pihak yang melakukan penyelewengan melibatkan wang kerajaan.
“Kami harapkan dengan pelaksanaan perundangan yang tegas ini, Tan Sri Kenneth dapat diheret ke muka pengadilan atas penyelewengan dan salah lakunya semasa menerajui MAICCI,’’ katanya.