PKR Perak Mahu Sebarang Isu, Polisi Dibincang Bersama Dalam Majlis PH

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Selepas isu `panas’ lantikan penasihat khas Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang dimainkan media sosial semakin reda, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak pula mahu sebarang isu mahupun polisi yang dilaksanakan selepas ini dibincang bersama parti dalam gabungan Pakatan Harapan.

Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty yang menegaskan demikian berkata, perbincangan bersama itu hendaklah dibuat melalui Majlis Pakatan Harapan yang bermesyuarat dua kali sebulan. Menurut beliau, mesyuarat setiap Jumaat pada minggu pertama dan ketiga itu bagi memastikan majlis Pakatan Harapan (PH) benar-benar berkesan dan pelaksanaan dibuat pula menepati kehendak perjuangan rakyat.

“Kita perlu lihat terus ke hadapan, saya mengharapkan selepas cuti raya ini, Menteri Besar dapat membuat keputusan lebih penting bagi mengukuhkan perjalanan kerajaan Pakatan Harapan di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Berbuka Puasa bersama pengamal media di Ipoh semalam. Dr Muhammad Nur Manuty berkata, PKR Perak juga mahu kerajaan Pakatan Harapan yang baharu dibentuk memberi fokus kepada usaha pelaksanaan manifesto yang dikemukakan kepada rakyat negeri ini. Menurutnya, janji-janji dalam manifesto berkenaan perlu ditunaikan seberapa segera agar rakyat tidak merasa kecewa dengan mandat pentadbiran yang diberikan.

“Dalam mesyuarat Majlis Pakatan Harapan, kita juga meminta agar perkara ini diberi perhatian serius, kita bimbang pula rakyat akan kecewa jika ada satu dua perkara yang sepatutnya diberi keutamaan, tetapi tidak dilakukan.

“Ketika ini kita sudah masuk hari ke 30 kerajaan dan janji untuk laksanakannya adalah dalam tempoh 100 hari, jika dapat, laksanakanlah secepat yang boleh,” tegasnya.

Dr Muhammad Nur Manuty berkata, pihaknya juga telah dimaklumkan tentang beberapa isu yang timbul berkaitan pentadbiran kerajaan negeri pada ketika ini terutama melibatkan pelantikan Penasihat Khas Menteri Besar.

Bagaimanapun katanya, perkara itu berjaya diselesaikan dengan baik menerusi perbincangan dua hala antara pihak terlibat dengan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu sendiri selaku Pengerusi Pakatan Harapan Negeri.