Program Subsidi Petrol Ditangguh

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini telah mengeluarkan kenyataan untuk menangguhkan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) yang sebelum ini dirancang diperkenalkan bermula Januari tahun 2020.

Menurut kenyataan bertarikh 30hb. Dis 2019 itu yang merujuk kepada Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, mesyuarat kabinet pada 18 Disember 2019 telah memutuskan bahawa pelaksanaan PSP tidak akan diteruskan sehingga satu masa yang akan diumumkan kemudian.
Oleh itu, sementara menunggu pengumuman seterusnya dibuat, harga petrol akan terus boleh dinikmati seperti sistem sedia ada sekarang.

PSP adalah salah satu inisiatif kerajaan yang dirancang bermula tahun 2020 untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

Mereka yang memenuhi kriteria dan penerima BSH di Semenanjung Malaysia akan menerima bantuan sebanyak RM30 sebulan bagi pemilik kereta di bawah 1600cc dan RM12 sebulan bagi pemilik motorsikal di bawah 150cc.