Rumah Kebajikan Orang Tua Islam (PEKITA) Berdepan Situasi `Meruncing’… Enam Bulan Terputus Bantuan Makanan

Reading Time: 3 minutes

IPOH: Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang-Orang Tua (Islam) Titian Abadi (PEKITA), satu-satunya rumah kebajikan orang tua Islam di Perak sedang berdepan situasi meruncing kerana terputus bantuan wang dan makanan dapur daripada para penderma sejak enam bulan lalu.

Menurut Pengerusi PEKITA, Haji Ahmad Wan Chik, lebih membimbangkan PEKITA masih belum menerima bantuan tahunan sebanyak RM30,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Oktober ini menyebabkan pihaknya menghadapi kesulitan dalam menguruskan penjagaan 25 orang penghuni di rumah kebajikan berkenaan.

Sambil menzahirkan rasa sedihnya berhubung perkara ini, beliau berkata, sekiranya keadaan terus meruncing , PEKITA bercadang untuk mengadakan rundingan dengan JKM bagi membincang dan mencari jalan penyelesaian demi masa depan penghuni-penghuni tua di bawah jagaannya.

“Paling menyedihkan semalam hanya tinggal dua kampit beras dan kini telah digunakan untuk makanan penghuni-penghuni di sini…lain-lain makan seperti biskut kering, kopi, gula, tepung walaupun ada namun bekalannya semakin habis.

“Saya telahpun menghubungi pihak JKM bertanyakan peruntukan tahunan RM30,000 kepada PEKITA namun jawapan yang diterima menyedihkan kerana mereka (JKM) juga tidak tahu sama ada peruntukan itu ada ataupun tidak.’’ Kata Haji Ahmad kepada Independent.my pada Selasa.

Sehubungan itu beliau merayu kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak membantu menghulurkan bantuan segera berupa wang dan makanan dapur kepada PEKITA bagi urusan penjagaan 25 orang warga tua di rumah kebajikann berkenaan.

Menurut Haji Ahmad lagi, semasa pemerintahan pentadbiran kerajaan terdahulu PEKITA ada menerima bantuan bulanan antara RM3,000 ke RM4,000 daripada kerajaan negeri termasuk bantuan bulanan 15 kotak makanan daripada Yayasan Bina Upaya (YBU) namun selepas beralih tampuk pemerintahan kepada Pakatan Harapan tiada lagi bantuan serupa itu diterima pihaknya saehingga ke hari ini. 

Sehubungan itu beliau merayu kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak membantu menghulurkan bantuan segera berupa wang dan makanan dapur kepada PEKITA bagi urusan penjagaan 25 orang warga tua di rumah kebajikan berkenaan.

Beliau memohon jasa baik kerajaan Pakatan Harapan Perak pimpinan Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu membantu PEKITA dalam meneruskan operasinya untuk menjaga kebajikan orang-orang tua berkenaan. 

“Sekarang ini kami menjaga 25 penghuni tua dan ada diantara penghuni ini tidak diambil peduli langsung oleh keluarga dan kami terpaksa ambil tugas sepenuh masa menjaga mereka.

“Bayaran terpulang kepada individu dan ahli keluarga…itulah duit yang kami dapat untuk menguruskan rumah kebajikan ini termasuk bayaran api dan air,’’ ujar Haji Ahmad.

Beliau turut menyentuh perancangan masa depan PEKITA untuk mendirikan sebuah bangunan rumah kebajikan sendiri di atas tapak tanah seluas 2.8 ekar di Ara Payong yang telah diluluskan kerajaan negeri terdahulu.

“Sudah 8 tahun tanah ini tidak dapat kami usahakan kerana kekangan kewangan selain kawasan tanah yang diberikan itu adalah tanah lombong yang memerlukan belanja besar untuk menambak tanah. 

“Sehingga sekarang sudah 8 tahun…kami masih meneruskan operasi menjaga penghuni-penghuni tua ini di sebuah rumah yang dijadikan sebagai rumah kebajikan di nombor 34 Laluan KP 1/6 Taman Kinta Perdana, Lahat dengan kadar sewa bulanan RM800.

“Saya mengharapkan kerajaan negeri dapat membantu kami mendirikan sebuah rumah kebajikan untuk PEKITA memandangkan keadaan rumah sedia ada amat daif…keadaan bilik dan bilik air yang sempit dan kurang selesa buat 13 penghuni tua lelaki dan 12 penghuni tua wanita yang menginap disitu,’’ ujarnya.

Memandangkan masalah besar yang dihadapi PEKITA kini semakin meruncing, Haji Ahmad memohon jasa baik orang ramai termasuk badan-badan korporat, swasta dan badan bukan kerajaan tampil menghulurkan sumbangan bantuan makanan dan wang kepada PEKITA.

Katanya, orang ramai yang ingin menyumbang bantuan boleh terus menghubungi beliau ditalian 013-4793223 atau pejabat 05-3220244.