Zaman Sekarang Tidak Ada Rahsia – Tun M

Reading Time: < 1 minute

Tun Mahathir dalam sebuah wawancara bertajuk “Bicara Minda Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad” yang dianjurkan oleh Sinar.tv semalam berkata zaman sekarang sudah tidak ada perkara yang menjadi rahsia lagi.

Tambahnya, media sekarang menggunakan peralatan yang serba maju sehingga jika hari ini beliau bercakap sesuatu di dalam bilik, esok seluruh dunia akan tahu apa yang dikatakannya itu.

Beliau mengaitkan bagaimana segala perbuatan salah laku seperti rasuah yang dilakukan seseorang tidak boleh lari dari pengetahuan orang lain. Menurutnya, hari ini bila ke luar negara, sudah tidak lagi kedengaran orang bertanya apa yang telah berlaku kepada negara anda. Ini menunjukkan matlamat kerajaan Pakatan Harapan (PH) membanteras rasuah sedikit sebanyak telah dicapai.

Tun M menyedari bahawa rakyat meletakkan harapan yang tinggi kepadanya.
Namun beliau mengakui bahawa beliau bukan sempurna hingga boleh melakukan apa saja.

“Tak begitu. Saya pun macam orang lain juga, kadang-² buat silap, pilih orang silap, macam-² berlaku.

“Saya bukan magician, saya manusia biasa.

“Saya cuba selesaikan masalah melalui satu proses pemikiran, penetapan dan kadang-² cara yang saya pilih itu tak kena, tapi kita boleh betulkan,” katanya.

Bercakap tentang hutang yang ditanggung kerajaan hari ini, beliau menyatakan dahulu semasa belum menjadi kerajaan, beliau tidak menjangka jumah hutang yang ditinggalkan begitu tinggi sehingga mencecah hampir 1 trilion ringgit.

“Apabila kita jadi kerajaan, barulah kita dapati bahawa kerosakan yang berlaku, hutang trilion ringgit ini kita tidak sangka,” ujarnya.

Tun M mengakui kerajaan PH adalah berbeza dari Barisan Nasional (BN) yang diterajuinya dahulu kerana BN mempunyai UMNO sebagai parti yang dominan manakala gabungan 4 parti dalam PH mempunyai ideologi masing-masing yang perlu diambil kira sebelum kerajaan mengambil suatu keputusan.